BUKIT MERTAJAM: Ketika remaja lain yang seusia dengannya ceria kembali ke sekolah, Muhamad Haikal Iqbal Mohd. Basir, 14, pula hanya mampu memendam rasa.
Anak sulung daripada dua beradik itu tidak dapat berbuat demikian kerana dia kini terpaksa menjalani rawatan kimioterapi intensif selepas didiagnosis menghidap penyakit kanser hati sejak hujung tahun lalu.
Sejak itu, Muhamad Haikal Iqbal yang dulunya aktif termasuk rajin membantu ibunya berniaga buah-buahan potong secara kecil-kecilan tidak jauh dari rumah mereka di Taman Pauh Jaya di sini bagaimanapun mula menyendiri.
Segalanya bermula apabila dia sering tidak sihat pada waktu malam serta mengalami keletihan melampau termasuk demam hingga menggusarkan kedua ibu bapanya.
Muhamad Haikal Iqbal kemudian dibawa ke klinik untuk pemeriksaan sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan akhirnya disahkan menghidap kanser hati.
Ketika dikunjungi Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) baru-baru ini, remaja itu menangis sambil menceritakan ketakutannya untuk menghadapi masa depan yang belum pasti.
Pengerusi Foccan, Maznah Tayib, berkata, ibu kepada Muhamad Haikal Iqbal iaitu Suhaila Sulaiman, 44, adalah orang kurang upaya (OKU) kerana menghadapi masalah pendengaran dan percakapan manakala bapanya, Mohd. Basir Abdullah, 39, bekerja sebagai tukang masak.
“Saya berikan kata-kata semangat kepada adik ini (Muhamad Haikal Iqbal) supaya terus berjuang dan meyakinkan dia untuk terus menerima rawatan seperti yang disaran oleh doktor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam. – UTUSAN ONLINE