Tangani masalah sosial, mental secara bersepadu - PM - Utusan Malaysia

Tangani masalah sosial, mental secara bersepadu – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Sosial Negara (MSN) adalah platform aktif dan berkesan untuk agensi kerajaan, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbang idea dalam menangani masalah sosial ke arah pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera.

Perdana Menteri berkata, kerjasama bersepadu itu amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Perkara itu disampaikannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 1 Tahun 2021 yang diadakan secara sidang video di Putrajaya, semalam.

Dalam kenyataan MSN, mesyuarat berkenaan membangkitkan keperluan penglibatan semua kementerian dan agensi terutama bagi menangani isu kesihatan mental dalam masyarakat pada masa kini.

Justeru, katanya, langkah intervensi sosial terhadap isu kesihatan mental dipersetujui untuk dilaksanakan termasuk memperkasakan perkhidmatan kaunseling dengan memperkenalkan Dasar Kaunseling Negara.

“Tahap kesediaan dan strategi negara dalam menghadapi status negara tua menjelang tahun 2030 kelak turut diberi perhatian dan bersetuju intervensi diambil meliputi aspek penjagaan warga emas, kewangan dan perlindungan sosial, pendidikan dan pekerjaan serta persekitaran warga emas melalui penggubalan Pelan Tindakan Warga Emas,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, MSN di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, aspek kesukarelawan diperkasa melalui kerjasama pintar serta memperkenal Skim Bank Masa bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan aktif sukarelawan.

Jelasnya, pemerkasaan perkhidmatan kaunseling juga ditekankan untuk menangani isu kesihatan mental masyarakat sebagai salah satu sistem sokongan dalam menangani masalah kesihatan mental.

MSN ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara yang merupakan dasar payung merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.

Pelaksanaan majlis ini akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, NGO dan masyarakat secara keseluruhannya. – UTUSAN ONLINNE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya