GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada usaha menangani kesan akibat pandemik Covid-19 dalam kalangan penduduk negeri ini berbanding kesungguhan untuk memulakan projek tambak laut.
Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, pandemik Covid-19 di Pulau Pinang tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan atau reda, malah, mencatatkan kes positif baharu antara tertinggi di seluruh negara.
Situasi itu, katanya, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk khususnya peniaga yang sudah sedia terjejas teruk akibat pandemik itu sejak awal tahun lalu.
Jelasnya, tumpuan utama kerajaan negeri ketika ini sepatutnya adalah bagaimana untuk membantu penduduk yang terjejas terutama mereka yang kehilangan pekerjaan dan peniaga yang terpaksa gulung tikar untuk meneruskan kehidupan.
“Apakah meneruskan projek tambak laut itu lebih penting daripada usaha untuk membela rakyat yang terus terhimpit akibat kesan pandemik Covid-19 sehingga kini?
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya lebih sensitif dan peka dalam pentadbiran mereka iaitu dengan mengutamakan kebajikan penduduk, bukannya bersungguh-sungguh dengan projek mega seperti tambak laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahad lalu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mengetuai kumpulan media dan wakil beberapa agensi berkaitan meninjau tapak projek tambak laut di perairan selatan (PSR) di Permatang Damar Laut di sini.
Projek itu kini sedang menunggu kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sebaik sahaja diterima kerja-kerja penambakan akan dimulakan hujung bulan depan atau awal Jun ini.
Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan Pusat berkata, beliau hairan bagaimana kerajaan negeri bersungguh-sungguh menggambarkan projek tambakan tersebut boleh dimulakan sedangkan masih berdepan rayuan daripada persatuan nelayan terhadap Lembaga Rayuan JAS.
Katanya, tindakan membelakangkan proses rayuan yang dibuat nelayan itu seolah-olah menggambarkan kerajaan negeri tidak mengambil peduli suara dan keluhan golongan berkenaan yang bimbang dengan masa depan sumber rezeki mereka.
“Apa jaminan yang boleh diberikan kerajaan negeri yang mana golongan nelayan masih boleh keluar mencari rezeki di laut dan membawa pulang hasil lumayan seperti sebelum ini sekiranya projek tambakan laut bersaiz mega diteruskan di kawasan itu?” katanya.
Selain itu ujarnya, kerajaan negeri juga seolah-olah tidak mempedulikan suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar terhadap kesan buruk dan berkekalan khususnya kepada ekologi laut sekiranya projek tersebut diteruskan. – UTUSAN ONLINE