GEORGETOWN: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan membuat keputusan bertanding jawatan di dalam UMNO hanya selepas Majlis Tertinggi (MT) parti itu memuktamadkan untuk mengadakan pemilihan tersebut.
Kata beliau, apa yang menjadi keutamaan atau perkara pokok ketika ini adalah MT UMNO membuat keputusan sama ada mengada atau menangguhkan pemilihan parti itu tahun ini.
Beliau sekali lagi menegaskan MT UMNO sepatutnya membuat keputusan mengadakan pemilihan parti itu tahun ini dan tidak menangguhkannya.
“Saya mahu supaya ada keputusan diadakan pemilihan dulu, selepas itu saya akan fikirlah untuk bertanding apa.
“Sekarang belum ada lagi keputusan MT sama ada mahu tangguh atau mengadakan pemilihan, itu yang pokoknya.
“MT kena buat keputusan jangan tangguhkan pemilihan, adakan pemilihan tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditanya sama ada akan sekali lagi bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu seperti ketika pemilihan bagi penggal 2018-2021 yang diadakan pada Jun 2018.
Pada pemilihan lalu, Khairy tewas apabila hanya mendapat 61 undi berbanding Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat 99 undi manakala Tengku Razaleigh Hamzah (30 undi).
Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020 namun ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Mengikut Perlembagaan UMNO, penangguhan bagi pemilihan parti dibenarkan dalam tempoh 18 bulan.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi jaminan pemilihan UMNO tetap diadakan tahun ini namun tidak menetapkan tarikh pemilihan itu berlangsung. – UTUSAN ONLINE