LANGKAWI: Kebanyakan penduduk di penempatan haram di Bukit Malut di sini didapati tidak bersetuju untuk dipindahkan jika lokasi yang diberikan tidak bersesuaian dengan gaya hidup mereka sebagai nelayan.
Salah seorang penduduk yang mahu dikenali Ishak, 40, berkata, setakat ini, penduduk tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai status tempat dan masa yang mereka diarah pindah.
Menurutnya, kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan dan mereka mahu dipindahkan ke lokasi baharu yang berdekatan dengan kawasan laut.
“Kedudukan tempat tinggal yang jauh dari pantai akan menyusahkan mereka untuk berulang-alik ke laut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Rashid, 42, berkata, kerajaan sepatutnya memindahkan penduduk di kawasan yang bersesuaian untuk memudahkan mereka mencari rezeki.
“Pada masa sama, diharapkan juga tanah dan rumah itu nanti ditawarkan dengan harga yang murah dan mampu dibayar oleh penduduk,” katanya.
Penduduk, Musa, 45, pula memberitahu, dia tidak mampu untuk membeli atau menyewa rumah baharu apabila diminta berpindah di kawasan baharu nanti.
“Sekarang ini walaupun rumah buruk, tetapi kami tidak perlu keluarkan belanja yang tinggi untuk sewa bulanan, ditambah pula pendapatan harian kami tidaklah begitu banyak,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, keputusan untuk penempatan baharu penduduk di Bukit Malut masih di peringkat perbincangan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Setakat ini, masih belum dimuktamadkan lagi kawasan baharu untuk memindahkan penduduk terlibat,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri Kedah akan menyediakan kawasan baharu untuk memindahkan penduduk Bukit Malut tidak lama lagi sekali gus menyelesaikan masalah penempatan haram di tepi laut itu yang berlarutan terlalu lama.
Muhammad Sanusi berkata, langkah tersebut diambil bagi mempercepatkan proses pemindahan penduduk terlibat.
Akhbar ini sebelumnya melaporkan lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemar imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran ‘Little Myanmar’ itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut.