'Syurga' baharu Mak Cik Sarah - Utusan Malaysia

‘Syurga’ baharu Mak Cik Sarah

SARAH Jusoh di depan rumah baharunya di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan. - UTUSAN/BAHRUDDIN HATTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Nasib warga emas, Sarah Jusoh, 63, berubah selepas akhbar ini melaporkan kisahnya yang tinggal di rumah kecil bersaiz sembilan meter persegi tanpa bilik, dapur dan tandas serta tiada bekalan elektrik dan air di Kampung Chat Rimau, di sini pada 10 Februari lalu.

Setelah tiga tahun menduduki rumah sempit tersebut seorang diri, ibu tunggal itu kini mampu tersenyum apabila dia bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri kali ini di rumah sama yang sudah dinaik taraf menjadi jauh lebih besar dan selesa, lengkap dengan kemudahan asas.

Rumah itu selesai dinaik taraf oleh pelbagai pihak secara bergotong-royong minggu lalu dan kos pembinaan dibiayai sepenuhnya menerusi sumbangan orang ramai yang bersimpati terhadap nasib ibu kepada seorang anak itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sarah mengakui gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan sehingga dia mampu memiliki sebuah rumah yang lebih besar dan selesa.

“Masalah tiada bekalan air dan elektrik juga sudah selesai. Saya tidak perlu menggunakan pelita lagi pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Akhbar ini dan Kosmo! pada 10 Februari lalu melaporkan Sarah menggunakan kesemua wang simpanannya berjumlah RM5,000 yang dikumpul daripada hasil menoreh getah untuk membina rumah yang hanya sebesar bilik tidur tanpa tandas dan dapur.

Sarah sudah 30 tahun hidup sendirian selepas berpisah dengan suami. Dia mempunyai seorang anak perempuan berusia 42 tahun yang sudah berkeluarga namun juga hidup dalam kemiskinan.

Sementara itu, Penghulu Mukim Banggol Jenereh, Wan Doti Nurzarina Wan Yahya berkata, selepas dinaik taraf dengan kos kira-kira RM14,000, rumah warga emas itu kini dianggarkan seluas 23.8 meter.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf rumah diusahakan Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Skuad Sabil Tanah Merah, Masjid Ubudiah Mukim Belimbing, Masjid Ismail Petra Tanah Merah, Majlis Gabungan Tanah Merah dan Brotherhood Tanah Merah.

“Selepas kisah mak cik Sarah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, ramai individu yang prihatin dari seluruh negara menelefon saya bertanyakan perkara itu kerana mahu membantu warga emas itu,” katanya.

Menurut Wan Doti Nurzarina, Sarah juga kini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan sejak bulan lalu sekali gus dapat meringankan beban warga emas itu dalam menjalani kehidupan harian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya