Syarikat pembalakan diminta pulih bekalan air bukit penduduk - Utusan Malaysia

Syarikat pembalakan diminta pulih bekalan air bukit penduduk

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Syarikat yang menjalankan kerja pembalakan hingga menjejaskan kualiti air bukit digunakan penduduk Kampung Tanah Liat dan Kampung Kerawai di Sik dekat sini diminta mengambil tindakan segera bagi membantu memulihkan keadaan di situ.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, secara kebiasaannya syarikat yang terlibat dengan pembalakan di sesuatu kawasan akan membuat kolam tadahan baharu sekiranya kerja-kerja mereka menjejaskan kolam tadahan air yang menjadi sumber bekalan air penduduk setempat.

“Penggantian itu biasanya dibuat sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terlibat kepada penduduk terjejas kerana buat masa sekarang, memang tiada jaminan apa-apa daripada mana-mana pihak terhadap kolam tadahan air di kawasan bukit.

“Jadi, kita berharap syarikat terlibat dapat membantu jika kerja mereka benar-benar telah menjejaskan kualiti air digunakan penduduk. Biasanya kalau ada kerja di kawasan tadahan terlibat, memang perlu dibina kawasan tadahan baharu supaya penduduk kembali menikmati air bersih,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam berhubung lebih 200 penduduk di dua kampung itu terlibat terpaksa menggunakan air keruh dan berselut untuk kegunaan harian sejak seminggu lalu.

Kalangan penduduk mendakwa, masalah itu mungkin timbul disebabkan syarikat pembalakan di kawasan berhampiran, membuka laluan baharu yang melalui kawasan kolam tadahan air di kawasan tersebut.

Mereka yang menggunakan air bukit itu sejak 1978 mendakwa, ini kali pertama mereka berdepan masalah sedemikian kerana sebelum ini, air yang keruh selepas hujan akan kembali jernih dalam masa singkat.

Sementara itu Muhammad Sanusi sekali lagi menegaskan bahawa tiada kelulusan pembalakan baharu dikeluarkan sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada Mei 2020.

“Segala kerja pembalakan yang dijalankan ketika ini adalah lesen-lesen yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri terdahulu iaitu sejak 2014 dan 2020 di kawasan seluas 75,000 hektar.

“Bersandarkan kuota ditetapkan Majlis Tanah Negara yang cuma membolehkan Kedah menebang balak di kawasan seluas 4,000 hektar saja setahun, dianggarkan tempoh 18 tahun diperlukan untuk menebang balak di semua kawasan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN