JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan dan empat individu masing-masing didenda antara RM12,000 hingga RM20,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini setelah mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal perindustrian secara haram, antara Julai hingga Oktober tahun lepas.
Syarikat Sama Mahir Sdn. Bhd. yang diwakili pengarahnya, Tan Chee Siong, 49, serta kesemua empat lelaki berkenaan iaitu Nordin Abdul Said, 39; Tey Chiou Hwai, 44; Chong Wei Lun, 30; serta Chen Wei Xuan, 26, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Dalam prosiding itu, hanya Nordin dikenakan denda sebanyak RM12,000, manakala tiga individu lain serta syarikat yang diwakili pengarah terbabit masing-masing didenda RM20,000 atas kesalahan tersebut.
Ahmad Fuad turut menetapkan keempat-empat mereka boleh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Sama Mahir didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian di atas tanah kerajaan Lot 3053, Mukim Plentong, di sini kira-kira 10.30 pagi, 1 September lalu.
Nordin yang merupakan pemandu lori pula didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan di atas tanah Lot 705, Mukim Sungai Tiram, di sini pada kira-kira 4 petang, 14 Julai lalu.
Chiou Hwai yang merupakan pengurus syarikat didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian di atas tanah Lot 580, Mukim Tebrau, di sini, pada kira-kira 4.40 petang, 4 Ogos lalu.
Wei Lun yang merupakan pemandu lori pula didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pembinaan di atas tanah Lot PTD 216964, Kampung Plentong Baru, di sini, kira-kira 4.46 petang, 7 September lalu.
Wei Xuan yang merupakan pengarah syarikat didakwa melakukan perbuatan sama di atas tanah Lot 211042, Kampung Plentong Baru, kira-kira 11 pagi, 12 Oktober lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Rubiah Maulud, manakala Sama Mahir serta keempat-empat lelaki berkenaan tidak diwakili peguam.
Sama Mahir dan kesemua individu berkenaan memohon mahkamah mengenakan denda yang ringan atas pelbagai alasan termasuk mengalami masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19, namun, Rubiah memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam. -UTUSAN ONLINE