Surau bakal diroboh pemaju - Utusan Malaysia

Surau bakal diroboh pemaju

HAMIDAH Osman (tengah) bersama ahli kariah Surau Al Karamah yang bakal diroboh di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Setiap kali Ramadan sejak 37 tahun lalu, Surau Al Karamah, Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh di sini menjadi tumpuan penduduknya dengan pelbagai aktiviti keagamaan, namun ketibaan bulan mulia itu kali ini berbeza apabila surau berkenaan bakal dirobohkan tidak lama lagi.

Ia berikutan tanah tapak surau tersebut yang dibina oleh peneroka awal perkampungan Melayu di situ telah diambil alih oleh sebuah syarikat pemaju perumahan.

Pengerusi Kariah Surau Al Karamah, Abdul Wahab Abdul Rashid berkata, beliau bersama ahli-ahli kariah tidak pernah bersetuju dengan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang berbincang dengan pihak pemaju tanpa mendapatkan pandangan penduduk.

Katanya, perkara tersebut telah diputuskan oleh MAIPk  pada jawatankuasa surau berkenaan di dalam surat pada 16 November tahun lalu dengan jaminan pihak pemaju akan menanggung pembinaan surau baharu.

“Rancangan untuk membangunkan projek kediaman di kawasan ini telah lama iaitu sejak tahun 2002, sebab itu kami merasa kecewa mengapa kedudukan surau ini tidak dimasukkan di dalam pelan rancangan tersebut agar tidak diganggu.

“Pihak MAIPk serta pihak Pentadbir Tanah Daerah Kinta sepatutnya membela kedudukan surau yang menjadi tempat ibadat bagi kira-kira 1,500 penduduk di tiga buah perkampungan di sini iaitu Kampung Sri Keramat, Kampung Sri Murni dan Kampung Tok Chendang,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung isu rumah penduduk dan surau yang akan dirobohkan di Kampung Tok Chendang di sini.

Tiga buah perkampungan ini diteroka oleh penduduk setinggan Melayu Ipoh pada tahun 1979 sebelum menerima kemudahan asas daripada kerajaan negeri semasa era pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali.

Kerajaan negeri pada tahun 2002 meluluskan cadangan pindah milik tanah kerajaan di kawasan tersebut seluas 105 ekar bagi projek perumahan dan pembangunan bercampur kepada sebuah syarikat pemaju.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, MAIPk sepatutnya mempertahankan surau tersebut serta mengambil kira kepentingan penduduk yang telah bermastautin di perkampungan itu lebih lama.

Katanya, adalah sangat menyedihkan jika surau berkenaan dirobohkan tambahan pula semasa umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.

“Jika mengikut arahan, pihak pemaju akan melakukan perobohan pada pukul 9 pagi, 26 April ini. Putra tetap mendesak pihak berkuasa terutamanya MAIPk melihat semula keputusan tersebut.

“Putra akan menggunakan saluran yang ada untuk mempertahankan surau ini dan kita akan hadir pada tarikh tersebut untuk berhadapan dengan pihak pemaju,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN