Sup tulang ala Turki menu berbuka - Utusan Malaysia

Sup tulang ala Turki menu berbuka

SHARIFAH Zainora mengacau kuah sup tulang ala Turki di Kampung Badang, Kota Bharu. – Utusan/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pernah menjadi pembantu di restoran selama 20 tahun memberi peluang kepada Ab. Manaf Mat Min, 64, untuk mempelajari cara-cara memasak sup tulang ala Turki daripada seorang tukang masak.

Tanpa disangka, percubaan Ab. Manaf bersama isteri, Sharifah Zainora Mohd. Nawawi, 49, memperkenalkan menu tersebut di kedai makan mereka di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini sejak setahun lalu membuahkan hasil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sharifah Zainora berkata, suaminya pada mulanya sekadar cuba-cuba menghasilkan sup tulang ala Turki berdasarkan resipi yang dipelajari daripada gurunya yang berbangsa India.

“Selepas mencuba, ramai pelanggan memuji keenakan sup tulang ala Turki disediakan suami saya yang disifatkan lain daripada kebiasaan.

“Rasa kuahnya berbeza dengan sup tempatan dan sesuai dimakan dengan nasi Arab, selain tahan lama dan boleh di­simpan untuk juadah bersahur pula,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sharifah Zainora berkata, sup dan tulang lembu itu dimasak selama dua jam bagi memastikan rasa sup yang benar-benar pekat selain daging pada tulang menjadi empuk.

“Kebiasaannya, kami menggunakan sebanyak 20 hingga 30 kilogram tulang daging untuk dimasak setiap hari dan ia dijual pada harga RM10 bagi setiap tiga ketul.

“Kedai kami dibuka setiap hari bermula pukul 3 petang kecuali hari Jumaat. Kebia­saannya pelanggan akan membuat tempahan awal bagi mengelak kehabisan,” katanya.

Sharifah Zainora memberi­tahu, selain sup tulang ala Turki, daging masak kerutuk air tangan suaminya turut laris dijual sepanjang Ramadan kali ini menyebabkan mereka tidak menang tangan menerima tempahan setiap hari. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN