PASIR GUDANG: Selepas Utusan Malaysia melaporkan Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah berada dalam keadaan tenat, sebatang lagi sungai yang berada dalam kawasan perindustrian Pasir Gudang iaitu Sungai Buluh turut dikategorikan tercemar.
Malah Sungai Buluh juga disifatkan sebagai ‘sungai mati’ kerana airnya berwarna hitam pekat dengan bau yang busuk dan meloyakan apabila berada di sekitar.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rancangan pemulihan jangka pendek dan jangka panjang perlu diteliti dan disegerakan kerana sungai berkenaan berada pada tahap kritikal.
Menurut beliau, pihak berkuasa dilihat gagal menangani pencemaran di sungai itu dengan cara yang berkesan.
“Sungai Buluh yang mengalir di kawasan industri boleh disifatkan sebagai ‘sungai mati’. Ini kerana airnya berwarna hitam pekat dengan bau yang busuk dan meloyakan apabila berada di kawasan sekitar.
“Itu belum lagi dibuat kajian tentang keadaan kualiti air, jadi saya mendesak agar usaha menghidupkan Sungai Buluh dilakukan dalam kita mencapai pembangunan yang mapan dan lestari,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) sebelum ini meletakkan Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di sini juga dalam kategori kelas lima atau sungai mati.
Sungai Buluh disenaraikan sebagai sungai tercemar di Johor dan antara lima sungai yang paling tercemar di negara ini.
Hassan berkata, pencemaran di sungai tersebut mula berlaku sejak 70-an akibat aktiviti perindustrian di kawasan sekitar.
“Perkara ini juga sudah banyak kali dilaporkan namun sehingga kini keadaan sungai itu masih sama.
“Sehubungan itu kita meminta pihak industri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), JAS, Pegawai Daerah Johor Bahru dan kerajaan negeri supaya mengambil tindakan bersepadu bagi menyelamatkan sungai tersebut,” jelasnya.
Selain itu tambahnya, masyarakat perlu memainkan peranan dan lebih bertanggungjawab menjaga sungai dengan tidak membuang sampah sarap ke dalamnya selain merasakan sungai itu berpotensi dijadikan kawasan riadah jika berjaya dipulihkan nanti.