LIPIS: Sekurang-kurangnya sebuah stor konsep DesaMall melalui Program DesaMall@Kementerian Pembangunan Luar Bandar disasar diwujudkan di setiap negeri dalam usaha memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, setakat ini, terdapat tiga stor Konsep DesaMall iaitu di Putrajaya, Mersing, Johor dan Lipis, Pahang.
“Kementerian menyasarkan sebanyak 14 stor dibuka melibatkan setiap negeri dan usaha ini akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Sambutan masyarakat terhadap pembukaan stor konsep ini amat baik yang menyaksikan di stor Konsep DesaMall Lipis yang baru sebulan dibuka berjaya merekodkan jualan kira-kira RM30,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Stor Konsep DesaMall@Lipis di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Lee Ah Wong; ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Abdul Rahman berkata, program DesaMall@KPLB yang dilancarkan pada 2018 merupakan inisiatif kementerian membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-dagang.
Menurutnya, bermula September tahun lalu stor Konsep DesaMall mula ditubuhkan di Mersing, Johor yang bertujuan mempamerkan produk usahawan luar bandar secara fizikal yang membolehkan pelanggan membeli terus atau melalui platform e-dagang.
Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini, terdapat 2,162 usahawan luar bandar yang telah memanfaatkan Program DesaMall@KPLB sebagai platform memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
Katanya, sehingga 31 Mac lalu Program DesaMall@KPLB mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM2.05 juta melibatkan 2,362 produk yang dijual dalam program berkenaan.
“KPLB akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta bagi membolehkan pelbagai kerjasama strategik dirangka dan keutamaan kerajaan pada masa ini adalah bagi membuka lebih banyak peluang dalam bidang keusahawanan secara dalam talian serta mewujudkan peluang pekerjaan dan pasaran baharu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE