PADANG RENGAS: Stesen Kereta Api Bukit Berapit di sini pernah dicadangkan untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan negara, tiga tahun lalu.
Namun sehingga kini belum nampak sebarang usaha membangunkan dan memelihara kawasan berkenaan setelah majlis perasmian cadangan berkenaan dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.
Semasa majlis perasmiannya, projek berkenaan sepatutnya dijadikan produk pelancongan warisan di bawah Program Kelestarian Warisan Alam Terowong Bukit Berapit Padang Rengas dalam program yang dianjurkan Pertubuhan Warisan Alam Sekitar Malaysia (WASM) dengan kerjasama Railway Assets Corporation (RAC).
Namun selepas tiga tahun, cadangan projek itu belum menampakkan hasilnya malah terbantut sehingga kini.
Adalah merugikan jika stesen kereta api yang dibina pada 1905 itu terbiar dipenuhi semak samun.
Apa yang menarik, laluan kereta api itu mengandungi empat terowong yang ditinggalkan terletak di antara Taiping dan Padang Rengas dan berpotensi dibangunkan sebagai khazanah warisan negara.
Empat terowong gelap itu merupakan terowong terawal di Malaysia dan menjadi laluan utama nadi pengangkutan negara menghubungkan laluan utara selatan khususnya antara Ipoh dan Perai suatu ketika dahulu.
Terowong yang pertama terletak di laluan landasan antara Taiping ke Bukit Berapit sepanjang 289.6 meter manakala terowong kedua di antara laluan Bukit Berapit ke Padang Rengas sepanjang 337.5 meter, terowong ketiga (133.2 meter) dan terowong keempat (91.5 meter).
Terowong-terowong itu telah ditutup fungsi penggunaannya pada 1989 apabila siap pembinaan terowong landasan berkembar elektrik untuk laluan Ipoh ke Padang Besar.