SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor mempersembahkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat tarawih di masjid dan surau kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SOP yang dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat.
“Saya percaya pihak baginda sudah membuat penilaian berhubung SOP tersebut dan JAIS akan membuat pengumuman tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung SOP solat tarawih sempena Ramadan tidak lama lagi.
Terdahulu, Amirudin hadir merasmikan Platform Beli-Belah Atas Talian di Bazaarlokal dan Majlis Perasmian Festival Ramadan Selangor 2021 (FESTIRA’21) di pusat beli-belah SACC Mall di sini, hari ini.
Lebih 500 peniaga yang menyertai Bazaarlokal dan FESTIRA’21 pada tahun ini dengan menjual pelbagai barangan serta juadah berkaitan sambutan hari raya Aidilfitri.
Dalam perkembangan lain, Amirudin telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri untuk turun padang memeriksa bazar Ramadan yang di kawasan mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri hendak memastikan semua peniaga mematuhi SOP bazar Ramadan yang telah ditetapkan, selain mengelak berlakunya jangkitan Covid-19 di sesebuah bazar.
“Pada tahun ini, sebanyak 70 peniaga sahaja yang dibenarkan untuk berniaga di bazar Ramadan di sekitar pusat membeli-belah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berbanding 120 peniaga pada tahun sebelumnya.
“Pengurangan jumlah peniaga adalah disebabkan bagi mematuhi SOP pembukaan bazar Ramadan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE