KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk membangunkan projek sky train dalam usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam di pusat bandar raya ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, projek itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan sekiranya ada perancangan yang teliti dan peruntukan kewangan untuk melaksanakannya.
Beliau juga melihat pelaksanaan projek itu akan mampu mengubah landskap pembangunan di Kota Kinabalu.
Disamping itu, ia juga dapat mengatasi isu ketidakcekapan sistem pengangkutan awam serta kesesakan lalu lintas di bandar raya ini.
Katanya, apabila projek sky train ini terlaksana ianya akan menjadi satu lagi tarikan baharu kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
“Setakat ini, ada beberapa pelabur tempatan dan juga dari luar negara seperti China yang berminat untuk membangunkan projek ini secara Inisiatif Pembiayaan Swsata (PFI)” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat cadangan daripada gabungan tiga syarikat tempatan dan luar negara yang berminat membangunkan projek Sky train, dekat sini baru-baru ini.
Gabungan tiga syarikat itu adalah Guancai (M) Sdn Bhd, China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd dan Vizione Deveploment Sdn Bhd.
Menteri Kerja Raya Sabah ini juga meminta ketiga-tiga syrikat tersebut untuk memperkemaskan cadangan itu bagi mengadakan perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Masih banyak perkara perlu dibincangkan dan diperhalusi terutamanya yang melibatkan isu pengambilan tanah.
Justeru, perancangan dan perbincangan yang lebih teliti bersama-sama jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat perlu dilakukan sebelum perkara ini dibawa ke Kabinet,” katanya.
Bung Moktar berkata, kerajaan akan terus meningkatkan usaha menarik pelaburan asing untuk membantu membangunkan negeri ini bagi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan. -UTUSAN ONLINE