SKMM sekat 2,195 laman sesawang judi dalam talian - Utusan Malaysia

SKMM sekat 2,195 laman sesawang judi dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah bertindak menyekat 2,195 laman sesawang yang mempromosikan judi dalam talian, setakat Mac lalu.

Jumlah itu berdasarkan permohonan rasmi yang dikemukakan polis atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain maklumat diterima daripada orang ramai.

“SKMM turut bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial berpangkalan di luar negara seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan sedemikian.

“Ia dapat dilakukan mengikut terma perkhidmatan dan piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Makluman SKMM itu sebagai merujuk kegiatan promosi perjudian dalam talian yang tular diperkatakan warganet sejak minggu lalu dan diikuti beberapa tangkapan oleh pihak polis.

Mengulas lanjut, ia berkata, dari aspek penguatkuasaan, SKMM turut melaksanakan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan nombor aktif disahkan.

Usaha itu penting bagi mengelakkan talian disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuklah aktiviti penipuan dan kegiatan promosi judi dalam talian.

“Sejumlah 19,765 talian telah ditamatkan atas kesalahan mesej ringkas ‘spam’ yang dikesan mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, SKMM memberi peringatan kepada pengguna agar lebih bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan kandungan sedemikian yang boleh memudaratkan masyarakat.

Sekiranya terjumpa kandungan sebegitu, ujar SKMM, para pengguna media sosial digesa agar segera melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya