PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket dipercayai menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dengan menahan tiga individu dalam serbuan di dua premis di Jalan Ipoh, dekat sini semalam.
Kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki termasuk warga Pakistan dan seorang wanita tempatan itu ditahan dalam operasi khas kira-kira pukul 4.30 petang.
Serbuan dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu susulan Op Hack bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal bulan lalu bagi mengesan saki-baki syarikat yang menggunakan pelekat PLKS yang dicetak sindiket dengan menggodam sistem Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan mendapati kegiatan didalangi lelaki warga Pakistan berusia 39 tahun itu dengan mendapatkan pelanggan dari kalangan negara asalnya terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi.
Ujarnya, sindiket itu menerima bayaran kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 seorang bagi mendaftarkan mereka dalam program tersebut dan mengaut keuntungan sehingga mencecah RM243,000.
“Premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing.
“Wanita dan lelaki warga tempatan dipercayai berkomplot serta melindungi kegiatan dalang utama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, sejumlah 81 naskah pasport pelbagai negara (Pakistan, Bangladesh dan Vietnam) dan wang tunai RM15,950.00 turut dirampas di premis sindiket beroperasi.
Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Jabatan ini menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan pihak Imigresen dan tidak menggunakan orang tengah atau agen dalam urusan Program Rekalibrasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE