Siapkan diri hadapi ledakan ekonomi - Utusan Malaysia

Siapkan diri hadapi ledakan ekonomi

MOHD. Shahar Abdullah (kanan) melihat hasil kraf yang dipamerkan pada Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf di Felda Bukit Sagu 3 di Kuantan, Pahang. UTUSAN/KHAIRULMIZAN YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Usahawan muda perlu mempersiapkan diri untuk lebih berdaya saing bagi menghadapi ledakan ekonomi baharu yang dijangka berlaku dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap dalam tempoh itu akan membuka banyak peluang perniagaan dan penjanaan ekonomi.

“Walaupun projek ECRL masih mempunyai masa panjang iaitu sekitar empat ke lima tahun untuk disiapkan, usahawan muda harus bersiap sedia daripada sekarang untuk menghadapi ledakan ekonomi baharu atau ‘a big game changer’.

“Tanpa daya usahawan yang tinggi, meskipun peluang perniagaan lebih terbuka tetapi pengisiannya nanti orang luar yang ambil, bukan masyarakat setempat di Pantai Timur disebabkan mereka belum bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti Kraf di Felda Bukit Sagu 3, dekat sini,semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, antara langkah yang boleh diambil golongan usahawan terbabit ialah menghasilkan produk unik contohnya hasil kraf yang menampilkan ciri-ciri setempat.

“Di kawasan Parlimen Paya Besar ini sendiri banyak sekali produk yang boleh dihasilkan. Contohnya di Sungai Lembing yang kaya dengan produk pelancongan, mungkin boleh buat produk berkaitan lombong bijih timah atau di produk batik dengan motif sagu di Bukit Sagu ini.

“Itu sebabnya Kementerian Kewangan turun memberi sokongan dan dorongan berasaskan pakej-pakej ekonomi yang sudah dilancarkan supaya ia bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat pertengahan, malah masyarakat di kampung-kampung yang jauh dari bandar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN