ARAU : Perang mulut antara Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memasuki episod baharu apabila Shahidan mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu pernah cuba membuat gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, meskipun digelar dengan pelbagai ungkapan tidak baik oleh Tajuddin, namun, beliau tidak pernah sesekali cuba melakukan gerakan menjatuhkan Presiden sebagaimana dilakukan Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
Malah, beliau juga menunggu respons Pengarah Pilihan Raya UMNO itu bagi menafikan perkara tersebut.
“Dahulu dia (Tajuddin) pernah usaha untuk jatuhkan Presiden, saya tidak pernah meskipun dilabel macam-macam. Saya tunggu beliau (Tajuddin) jawab, kemudian saya akan respons lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, memetik laporan sebuah portal berita, Shahidan dilaporkan berkata, Tajuddin cuba membuat gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid sebagai presiden parti pada tahun lalu menerusi langkah mengumpul tandatangan lebih 80 Ketua UMNO Bahagian untuk menggugat jawatan Ahmad Zahid.
Dakwa Shahidan, Tajuddin mengumpul tandatangan itu bermula tahun lalu sebelum dilantik sebagai pengarah pilihan raya.
Malah, Ahli Parlimen Arau itu mendakwa, pertemuan tersebut berlaku sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Tajuddin bertindak sedemikian kerana tidak puas hati kerana tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan menganggap Ahmad Zahid sebagai presiden yang lemah.
Bagaimanapun dakwa Shahidan, usaha menjatuhkan Ahmad Zahid itu mungkin terhenti setelah Tajuddin dilantik menjadi pengarah pilihan raya UMNO.
Sementara itu, Shahidan berkata, disebalik pelbagai kecaman yang diterima, beliau antara pemimpin yang cukup lantang mempertahankan Presiden sejak dahulu.
Terdahulu, Shahidan dan Tajuddin dilihat
berbalas serangan berhubung isu kerjasama UMNO dan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.
Bermula dengan Tajuddin yang menyifatkan kenyataan Shahidan bahawa keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN terletak di tangan setiap Ahli Parlimen dan bukan Majlis Tertinggi (MT) sebagai bodoh.
Tidak duduk diam, Shahidan kemudian membidas kembali kenyataan tersebut seterusnya mendedahkan mengenai cubaan menjatuhkan presiden oleh Tajuddin itu. -UTUSAN ONLINE