Sesat di Gunung Datuk, diselamatkan di Gua Batu Maloi - Utusan Malaysia

Sesat di Gunung Datuk, diselamatkan di Gua Batu Maloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan tiga sekawan yang dipercayai sesat di Gunung Datuk, Rembau namun kemudiannya tersasar ke Gua Batu Maloi, Kuala Pilah iaitu sejauh tujuh kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fuad Majid berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.34 pagi dan tiba di lokasi pada pukul 10.52 pagi.

Menurutnya, salah seorang mangsa iaitu lelaki berusia 19 tahun telah berjaya dihubungi serta menyatakan dia sesat bersama seorang rakan lelaki berusia 17 tahun dan seorang rakan perempuan berusia 19 tahun.

Jelasnya, gerakan mencari dan menyelamat dimulakan di Gunung Datuk oleh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Pasukan Multi-Skill Team (MUST), kakitangan Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

“Namun kemudiannya operasi dilakukan di Gua Batu Maloi, Kuala Pilah apabila mendapati lokasi kali terakhir mangsa dapat dihubungi beberapa jam selepas itu di lokasi berkenaan.

“Mangsa mula mendaki pada pukul 5 pagi bermula dari tapak kaki Gunung Datuk, ketika mahu turun, tiga sekawan berkenaan tidak menemui jalan keluar serta mulai sesat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Mohd. Fuad berkata, tiga sekawan berkenaan ditemui di puncak 701, Kuala kira-kira pukul 6.05 petang tadi dan salah seorang mangsa perempuan dalam keadaan lemah.

Menurutnya, pasukan bomba mengeluarkan mangsa melalui Kem Ultra di Gua Batu Maloi dengan cara mengusung mangsa.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan diserahkan kepada pihak polis dan ambulans untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada pukul 10.40 malam tadi” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya