Sentuhan magis pemuda OKU tukar zink jadi kanvas lukisan mural - Utusan Malaysia

Sentuhan magis pemuda OKU tukar zink jadi kanvas lukisan mural

LOUIS Gan Yee Loong yang juga OKU pekak dan bisu tekun menyiapkan lukisan mural pada dinding zink yang menjadi tarikan terbaharu pengunjung ke Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Biarpun cuaca agak terik, Louis Gan Yee Loong, 33, tetap tekun menyiapkan lukisan mural yang mengubah pemandangan di Batu Ferringhi di sini menjadi lebih indah buat peminat seni.

Sentuhan magis empat lukisan mural daripada Louis yang merupakan pemuda orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu itu menjadi tarikan terbaharu buat pengunjung ke lokasi peranginan popular negeri ini.

Dalam tempoh sebulan, Louis berjaya menukar zink di tepi laluan utama Jalan Batu Ferringhi menjadi sebuah kanvas seni sekali gus mengubah pemandangan persekitaran Batu Ferringhi menjadi lebih indah.

Menggunakan catatan di telefon bimbit untuk berkomunikasi, Louis Gan memberitahu, dia kini sedang berusaha menyiapkan mural bertemakan gaya hidup masyarakat di sekitar pantai Batu Ferringhi.

“Kesemua lukisan mural ini dijangka siap pada pertengahan April, saya akan melukis pada waktu pagi ketika cuaca tidak begitu terik.

“Jika cuaca kurang baik atau hujan saya akan berhenti melukis, saya gembira apabila orang ramai akan berhenti melihat hasil kerja saya di sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Louis, lukisan mural yang bertemakan pemandangan kampung serta sampul surat dengan gambar Francis Light serta pemandangan senja di Batu Ferringhi telah disiapkan dan hanya memerlukan sentuhan akhir.

“Saya berharap orang ramai akan lebih menghargai karya seni dan menjaga lukisan mural ini dengan sebaiknya.

“Lukisan mural ini saya hasilkan dengan teliti bagi memastikan ia dapat menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari berkata, mural berkenaan diharap dapat menjadi daya tarikan terbaharu pengunjung ke Batu Ferringhi.

“Empat lukisan mural ini dilukis semula oleh Louis yang merupakan pelukis tempatan di atas zink di laluan utama di Batu Ferringhi.

“Lukisan berkenaan adalah pemenang daripada pertandingan Reka Bentuk Mural Batu Ferringhi yang diadakan pada November tahun lalu dan saya berharap orang ramai akan menghargai karya seni terbaharu ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya