JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan senarai nama pegawai dan anggota polis yang tular dalam media sosial adalah individu yang terlibat dalam jenayah dilakukan ‘Geng Nicky’.
Beliau berkata, polis telah menyiasat senarai nama berkenaan dan ia tiada kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan pihaknya.
“Yang pasti memang tiada kaitan setakat ini tetapi saya tidak tahulah kalau mungkin ada kaitan dengan kes lain. Sejak kebelakangan ini, banyak benda ditularkan tentang polis. Saya nasihatkan jangan percaya dengan benda-benda itu.
“Daripada siasatan kita buat, soal siasat kita buat, memang nama-nama yang ditularkan itu tiada kaitan dengan Datuk Seri Nicky (Liow Soon Hee),” katanya selepas menghadiri Program Infaq Ramadan di Masjid Jannatul Firdaus di Taman Molek di sini, hari ini.
Beberapa hari lalu, tular dalam media sosial satu senarai nama pegawai-pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang dikatakan terlibat dengan pelbagai sindiket jenayah terancang iaitu dengan cara melindungi, bersubahat, bersekongkol, menyalahguna kuasa dan menerima rasuah.
Senarai nama yang tular itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka ini adalah antara pegawai polis yang terbabit dengan kes ‘Geng Nicky’. – UTUSAN ONLINE