Selipar 'Muslim friendly' tidak menyalahi syariat - Asma' Harun - Utusan Malaysia

Selipar ‘Muslim friendly’ tidak menyalahi syariat – Asma’ Harun

ASMA' Harun (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Program Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor dan pelancaran buku trilogi ibu tunggal bertajuk Suami Oh Suami, Semusim Tanpa Dia dan Setelah Engkau Pergi di Senawang, Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun berpendapat kontroversi sebuah jenama selipar terkenal berhubung dakwaan penggunaan perkataan ‘Muslim Friendly’ bagi melariskan produk tidak menyalahi syariat.

Asma’ berkata, perkara tersebut bergantung kepada perspektif masing-masing dalam membuat penilaian.

“Saya mungkin terbuka dalam isu ini dan saya nampak ia biasa, pada saya mungkin maksud ‘Muslim Friendly’ yang ingin disampaikan ialah selipar itu lebih kepada memudahkan muslimah yang memakai stoking,”

“Ia bukanlah perkara yang sampai peringkat kita nak gelarkan sebagai penunggang agama atau menyalahi syariat (agama),” katanya pada Majlis Pelancaran Program Semarak Ramadan @ Anjung Bonda Nor di Senawang di sini hari ini.

Sebelum ini, netizen mempertikaikan penggunaan ‘Muslim Friendly’ yang digunakan sebuah jenama selipar yang menjalinkan kolobarasi dengan aplikasi TheNoor yang dibangunkan oleh selebriti Neelofa.

Dalam perkembangan lain, Asma’ berkata, golongan artis, instafamous atau personaliti media sosial perlu lebih bertanggungjawab terhadap apa yang dikongsikan mereka di media sosial.

Jelas Asma’, sebagai individu yang boleh memberi pengaruh kepada masyarakat mereka sepatutnya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian walaupun itu menjadi hak peribadi mereka.

“Allah bagi pengaruh kepada masyarakat sama ada artis, instafamous, influencer atau mereka yang ada dalam bidang perniagaan, tolong bertanggungjawab ke atas setiap yang kita kongsi di media sosial.

“Walaupun kita kata itu hak peribadi. Tapi kalau betul hak peribadi simpan ia sebagai peribadi (sahaja),” katanya.

Beliau berkata, setiap perkongsian di media sosial itu boleh menimbulkan kekeruhan dan salah faham masyarakat jika tidak dikongsikan dengan cara yang betul.

“Bila kita buat sesuatu dan perkara positif lebih banyak daripada negatif maka teruskan. Tetapi bila kita tengok ia 50-50, mulalah muhasabah diri dan betulkan semula niat kita,” katanya.

Asma’ turut menyatakan kebimbangannya apabila hari ini ramai individu yang inginkan perhatian walaupun terpaksa menggunakan cara yang salah.

Sementara itu beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu taksub dengan individu tertentu sehingga kesalahan yang dilakukan tidak diakui.

“Taksub ini bahaya kerana ia boleh memecah belahkan. Rasululluh juga mencela sifat taksub kerana apabila taksub kita hanya nampak kebaikan saja pada orang yang kita taksub walaupun dia ada buat salah.

“Jadi bila kita lihat ada individu tertentu yang boleh mempengaruhi hidup kita atau sampai peringkat kita nak sentiasa ingat dan ikut, maka kita perlu muhasabah diri dengan melihat sejauh mana apa yang dibawa oleh individu itu boleh memberi kebaikan dalam hidup kita, “katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya