Seleweng dana SRC: Rayuan Najib mulai esok - Utusan Malaysia

Seleweng dana SRC: Rayuan Najib mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula esok sehingga 22 April ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Najib dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas Ahli Parlimen Pekan itu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

Rayuan tersebut sepatutnya didengar pada Februari lalu, namun, terpaksa ditangguhkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Persiapan berhubung prosiding rayuan itu telah dijalankan sejak beberapa minggu yang lalu.

Ekoran masih berada dalam keadaan pandemik Covid-19, media yang diberikan kebenaran untuk membuat liputan kes itu akan ditempatkan di bilik persidangan Istana Kehakiman dan prosiding dari Mahkamah Rayuan 3 akan dipancarkan secara terus ke bilik tersebut.

Hanya panel hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan, Najib serta beberapa kakitangan mahkamah dibenarkan berada di dewan mahkamah.

Najib memfailkan notis rayuan tersebut pada 30 Julai 2020 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Ketika memfailkan petisyen rayuannya, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak patut didapati bersalah dalam kes itu.

Antara alasan yang dikemukakan Najib ialah hakim yang mendengar perbicaraan itu terkhilaf apabila gagal memahami nilai keterangan dan gagal menyedari antara fakta yang dibuktikan dan sebaliknya, inferens yang perlu dibuat dan cadangan serta dakwaan yang tiada bukti.

“Hakim juga telah membuat penemuan ke atas elemen-elemen kesemua pertuduhan menggunakan logik akal sendiri yang bertentangan dengan keterangan lisan dan dokumen,” katanya Najib selaku perayu dalam petisyen itu.

Najib turut mendakwa Hakim Mohd. Nazlan terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah dalang sebenar dalam penyelewengan dana syarikat itu.

Selepas 12 hari berhujah kecuali Jumaat, Mahkamah Rayuan mungkin akan menangguhkan prosiding ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi menyampaikan keputusannya.

Jika nasib menyebelahi Najib, Mahkamah Rayuan akan melepas dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman.

Namun itu tidak bermakna, Najib boleh tersenyum riang dan menarik nafas lega kerana pihak pendakwaan masih boleh memfailkan rayuan bagi keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Hanya keputusan di peringkat Mahkamah Persekutuan sahaja yang boleh menentukan masa hadapan bekas Perdana Menteri itu.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya