PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan merekodkan 83 kluster Covid-19 dengan jumlah 4,868 kes melibatkan sektor pendidikan, setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kluster atau 59.04 peratus dengan 2,617 kes adalah masih aktif dan 34 kluster (40.96 peratus) dengan 2,251 kes diisytiharkan tamat.
Menurut beliau, sebanyak 39 kluster (46.99 peratus) dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah atau institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 19 kluster (22.89 peratus) dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori pendidikan tinggi dan 25 kluster (30.12 peratus) dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori pendidikan lain.
“Kementerian Kesihatan menyambut baik komitmen semua sektor pendidikan dalam memastikan para pelajar dan pelatih tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran dan latihan secara berterusan dalam keadaan selamat.
“Oleh itu, kementerian ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Adham berkata, kementerian sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan dalam pencegahan dan kawalan menangani penularan jangkitan.
Beliau menjelaskan, apabila pihak kementerian sama ada pejabat kesihatan daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan dari PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.
Katanya, PKD akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi juga dijalankan dan hasil penilaian risiko PKD, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan.
“Ia bertujuan agar langkah-langkah di atas dapat dijalankan segera untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti.
“Kerjasama padu Kementerian Kesihatan dengan semua pihak dalam sektor pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga sektor pendidikan terus terjaga,” katanya.
Mengulas lanjut, Adham berkata, nasihat umum kementerian perlu sentiasa diamalkan sebelum, semasa dan selepas waktu pembelajaran atau latihan.
Katanya, langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang boleh diambil semua pihak dalam sektor pendidikan seperti pemakaian pelitup muka pada setiap masa; memastikan penjarakan fizikal diamalkan; sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer serta menjaga kebersihan persekitaran sekolah.
Selain itu, katanya, semua individu perlu memastikan bahawa mereka sihat dan tidak bergejala semasa hadir ke tempat pembelajaran.
“Bagi institusi pendidikan dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga mereka, pihak pengurusan hendaklah segera memaklumkan kepada PKD berhampiran untuk tindakan pencegahan dan kawalan,” katanya. -UTUSAN ONLINE