TASEK GELUGOR: Kementerian Pendidikan berkuasa menutup sesebuah sekolah jika tidak dapat beroperasi seperti biasa disebabkan kekurangan tenaga pengajar dan sebagainya ekoran kes positif Covid-19.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, bagaimanapun Pusat Kesihatan Daerah (PKD) lebih berkuasa dari segi membuat penilaian risiko yang wujud apabila sesuatu kes Covid-19 dilaporkan di sekolah.
“Kami di kementerian sebenarnya hanya melihat dari segi atau aspek operasi sesebuah sekolah itu.
“Namun jika penilaian PKD mengatakan tak semua sekolah ditutup, tapi dari segi operasi kami melihat sebahagian besar guru kena kuarantin, maka sekolah tak boleh beroperasi dengan lebih efisien,” katanya pada majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Gelugor dan penyerahan wang penyelenggaraan sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.
Pada majlis tersebut, sebanyak 31 buah sekolah menerima peruntukan antara RM20,000 hingga RM200,000 untuk tujuan penyelenggaraan serta baik pulih sekolah.
Dalam pada itu beliau berkata, kementeriannya akan menyusun semula senarai sekolah-sekolah yang layak menerima bantuan penyelenggaraan, baik pulih dan sebagainya mengikut keutamaan.
Menurut Radzi, ini bagi memastikan sekolah yang betul-betul layak menerima peruntukan terlebih dahulu berbanding sekolah lain.
“Sekarang ada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan jika kita berjaya selesaikan satu (kes projek sekolah terbengkalai dan sebagainya), dua lagi muncul dan seterusnya.
“Sebab itulah, maka, dalam konteks ini kita kena susun pendidikan itu ikut ‘priority’ (keutamaan) supaya dapat memberikan impak yang maksimum,” katanya.