Sekelip mata Besut bertukar merah - Utusan Malaysia

Sekelip mata Besut bertukar merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Daerah Besut diisytiharkan sebagai zon merah hari ini susulan 24 lagi kes baharu Covid-19 dikesan membabitkan Kluster Bela Oh di Kampung Bela Oh.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, perangkaan terkini itu menjadikan keseluruhan kes kluster berkenaan meningkat kepada 49 kes.

Katanya, Kluster Belaoh yang didaftarkan pada 6 April lalu merupakan kluster komuniti melibatkan daerah Besut dan Marang di Terengganu di samping Bachok di Kelantan.

“Dukacita hari ini Terengganu mencatatkan 44 kes baharu Covid-19 dengan 24 daripadanya adalah membabitkan Kluster Belaoh sekali gus menjadikan jumlah kluster berkenaan adalah seramai 49 orang. Sekelip mata daerah Besut bertukar merah.

“Bayangkan jika kita tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di Besut akibat pergerakan bebas kes positif yang ramai,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Sebanyak tiga kampung di Besut iaitu Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 7 hingga 20 April ini.
Kes indeks bagi Kluster Belaoh merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 4 April lalu hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini seramai 945 sudah disaring termasuk penduduk di dua kampung bersebelahan.

Terdahulu, Nor Azimi berkata, rutin mengeteh di kedai-kedai kopi selepas selesai menunaikan solat di masjid dan surau dikenal pasti menjadi pencetus kluster berkenaan.

Katanya, walaupun suasana di kampung berkenaan sunyi namun, risiko penularan tetap sama seperti di bandar berikutan aktiviti sosial mengeteh dan bersembang dalam kumpulan ramai di samping tempoh masa lama.

Sehubungan itu, Nor Azimi menasihati orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi memastikan keadaan tidak menjadi lebih buruk.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya