Sasar 30 usahawan lahir hasil geran francais mikro - Utusan Malaysia

Sasar 30 usahawan lahir hasil geran francais mikro

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyasarkan untuk melahirkan 30 usahawan francaisi daripada geran francais mikro.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 13 jenama francais ditetapkan untuk dimohon bakal peserta program geran padanan itu dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Katanya, usahawan dari golongan berpendapatan B40 itu akan menerima dana RM100,000 atau lebih rendah bergantung kepada francaisor dengan komitmen 10 peratus daripada modal sendiri.

“Kementerian tidak mahu memberi percuma dan menetapkan nisbah 90:10 agar peserta ada sifat tanggungjawab tetapi kita bantu mengurangkan kos permulaan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik di Kompleks Alamanda Putrajaya di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kementerian itu juga menawarkan geran penuh untuk francaisor tempatan dengan peruntukan RM2 juta dan menetapkan sasaran lapan pakej dibangunkan tahun ini.

Francaisor itu, ujar Alexander akan dibiayai sebanyak RM20,000 bagi kajian pasaran francais mikro dan mampu milik untuk membina prototaip pakej yang bernilai tidak lebih RM100,000.

“Saya berharap, anak muda yang berminat, sila berjumpa dengan pegawai kementerian untuk bincang dan mengembangkan potensi dalam perniagaan francais di negara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya