Sarjan Norihan kembali bertugas, dua butir peluru masih ada pada tulang belakang - Utusan Malaysia

Sarjan Norihan kembali bertugas, dua butir peluru masih ada pada tulang belakang

SARJAN Norihan Tari kembali bertugas selepas cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada November lalu ketika ditemui di Batalion 3 PGA Senoi Praaq Kem Bidor hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Anggota Senoi Praaq, Sarjan Norihan Tari, 39, yang cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada November lalu menyarung kembali seragam celoreng hijau dan mula kembali bertugas.

Beliau yang kini semakin pulih ditugaskan sebagai sarjan pentadbiran bekalan di Kompeni A, Batalion 3 PGA Senoi Praaq Kem Bidor di sini sejak 1 Mac lalu.

Sebelum ini beliau merupakan anggota infantri iaitu sebagai sebahagian daripada pasukan tempur dan anggota penjejak dalam kompeni yang sama.

Bagaimanapun, kesan pembedahan kecederaan akibat ditembak musuh menyebabkan pergerakan Norihan agak terbatas kerana cepat letih selain dinasihatkan doktor tidak membuat kerja-kerja berat.

Hanya sebutir peluru berdekatan paru-paru dikeluarkan semasa menjalani pembedahan manakala dua lagi butir peluru yang menembusi tulang belakang pada bahagian pinggul tidak dapat dikeluarkan kerana bimbang boleh menyebabkan lumpuh.

Norihan memberitahu, beliau masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Pada Jun nanti saya akan kembali ke HPP untuk pemeriksaan susulan bagi doktor melihat kedudukan dua butir peluru yang masih ada pada tulang belakang.

“Doktor memberitahu, sekiranya kedudukan peluru ini tidak berubah ia okey tetapi jika berubah maka doktor akan tentukan apa langkah seterusnya, pembedahan atau tak,” jelasnya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat kem tersebut hari ini.

Pada lawatannya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyampaikan sumbangan kepada balu Sarjan Baharuddin Ramli, Relow Ko.

Menurut Norihan, keadaan kesihatannya bertambah baik dan beliau kini sudah boleh mengambil makanan pejal berbanding hanya bubur nasi dan sup ikan haruan semasa berpantang.

“Makanan kegemaran ialah nasi bersama ayam masak kicap air tangan isteri, setelah lebih empat bulan berpantang saya kini boleh makan seperti biasa.

“Malah sekarang makin berselera makan cuma saya tidak ambil makanan pedas,” katanya yang menyimpan kesan parut akibat tembakan penyeludup iaitu satu pada bawah ketiak dan dua di perut.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi 24 November lalu, Norihan dan Sarjan Baharuddin, 54, berbalas tembakan dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Op Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di perut manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.2 kilometer untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya