Salakan anjing isyarat ada harimau kumbang - Utusan Malaysia

Salakan anjing isyarat ada harimau kumbang

KAKITANGAN Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan mengalihkan seekor harimau kumbang yang memasuki jerat di Kampung Tengah, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Salakan berulang kali seekor anjing peliharaan yang bernama ‘Johny’ pada malam 30 Mac lalu rupa-rupanya cuba memberitahu tuannya tentang kehadiran seekor harimau kumbang di Kampung Chembong Kecil dekat sini.

Seorang penduduk Orang Asli di kampung berkenaan, Basri Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, dia segera menyuluh ke luar rumah berhampiran tempat salakan anjing berkenaan dan ternampak kelibat seekor harimau kumbang di atas batu kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia kemudian segera menghubungi rakannya untuk memohon bantuan bagi memaklumkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memasang perangkap.

“Saya ada bela lima ekor kambing, dua daripadanya mati sebelum ini disebabkan termakan racun tapi kali ini satu kambing lesap dan rupa-rupanya kehilangan kambing saya ini disebabkan menjadi makanan harimau kumbang.

“Saya difahamkan kawasan ini memang ada harimau kumbang namun belum pernah lagi haiwan itu turun ke kawasan perkampungan dan membaham binatang ternakan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Chembong Kecil di sini semalam.

Menurutnya, sebaik sahaja pihak Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan hadir melakukan siasatan dan memasang perangkap, dia sekeluarga meletakkan umpan iaitu anak kambing di dalam perangkap berkenaan.

“Semalam (kelmarin) saya hantar umpan pada pukul 6 petang dan pagi ini (semalam) anak saya, Mohamad Hakim Hakimi, 14, dan sepupunya, Aidil Adha, 13, mahu mengambil kembali umpan untuk diberi makanan.

“Baru separuh perjalanan ke perangkap berkenaan anak saya terdengar bunyi ngauman harimau dan berlari pulang ke rumah memaklumkan kepada saya,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, harimau kumbang yang memasuki perangkap tersebut merupakan harimau kumbang jantan dewasa seberat 41.5 kilogram dan dianggarkan berusia di antara lapan hingga 10 tahun.

Jelasnya, tangkapan terbaharu itu menjadikan sebanyak empat ekor harimau kumbang berjaya diselamatkan dalam tempoh empat bulan di negeri ini sejak 21 Disember lalu.

“Harimau kumbang tersebut kini sedang diberikan rawatan namun ia dalam keadaan sihat dan tiada kecederaan pada fizikalnya. Selepas diberikan rawatan, harimau kumbang ini akan dilepaskan ke kawasan perlindungan di bawah seliaan Jabatan Perhilitan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya