Rumah tanpa elektrik, kerajaan negeri jumpa pemaju, TNB - Utusan Malaysia

Rumah tanpa elektrik, kerajaan negeri jumpa pemaju, TNB

CHONG Fat Full (kanan) meninjau salah sebuah rumah penduduk yang menggunakan generator bagi mendapatkan bekalan elektrik ekoran ketiadaan kemudahan itu di sebuah flat di Taman Desa Kempas, Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bertekad akan menyelesaikan kemelut yang membelenggu kira-kira 30 keluarga yang tinggal di sebuah flat Taman Desa Kempas, di sini yang hidup tanpa kemudahan elektrik sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju serta Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

Katanya, daripada maklumat yang diperoleh, pihak TNB memberi maklum balas positif untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.

“Tetapi, yang menjadi masalah sekarang ini adalah pihak pemaju yang difahamkan tidak berhasrat untuk membuat ‘substation’ di sini kerana melibatkan kos tinggi selain mahu menyiapkan keseluruhan pembinaan yang melibatkan sembilan blok terlebih dahulu.

“Saya harap mereka tidak menunggu untuk menyiapkan keseluruhan projek (sembilan blok) itu sekiranya tiga blok sedia ada pun terabai. Ini adalah tidak realistik, masalah depan mata pun mereka tak mampu selesaikan.

“Jadi, kerajaan negeri perlu campur tangan bagi membela nasib penduduk di sini. Ini adalah satu kezaliman buat penduduk, ada di antara mereka yang sudah melunaskan pinjaman bank, namun, tak boleh tinggal di sini kerana tidak ada elektrik,” katanya pada sesi perjumpaan dengan penduduk terlibat di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kehidupan harian 30 keluarga yang tinggal di flat terbabit jauh lebih mundur daripada mereka yang tinggal di kampung ekoran kediaman mereka yang terbengkalai.

Disebabkan itu, kediaman tersebut tidak mendapat kelulusan untuk pemasangan elektrik dan penghuni terpaksa menggunakan generator untuk bekalan elektrik yang mengundang risiko kesihatan akibat asap mesin berkenaan.

Sementara itu, Fat Full berkata, kawasan tersebut mempunyai 187 lot dan terdapat seramai kira-kira 30 keluarga yang tinggal di situ biarpun tidak memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan ( CCC).

Kata beliau, pihaknya menerima aduan daripada wakil penduduk semalam memaklumkan dilema yang diharungi mereka selama ini.

Tambahnya, tiga blok flat tersebut sudah 90 peratus siap dan sudah mempunyai bekalan air, namun tidak mempunyai bekalan elektrik dan CCC.

“Setakat ini, pihak TNB positif untuk membantu dan kita akan mendapatkan pengesahan daripada pihak mereka supaya ada hitam putih untuk memberi kelegaan kepada penduduk yang terjejas.

“Mengenai pihak pemaju, kita akan berbincang dengan mereka tentang soal penyediaan substation. Jika soal kewangan menjadi kekangan, kita akan cuba bantu mereka,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya