TAMPIN: Projek rintis pembinaan rumah prototaip Bamboocrete hasil kerjasama antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberikan kegembiraan buat bekas tentera, Khamis Jobok, 57.
Khamis berkata, dia sudah lama memohon untuk memiliki rumah di bawah bantuan kerajaan dan beberapa pihak lain sejak tahun 2010, namun, setelah 10 tahun penantiannya itu direalisasikan oleh JHEV ATM pada bulan September tahun lalu.
Menurutnya yang berkhidmat selama 17 tahun selepas bersara awal atas faktor kesihatan, dia ada menyimpan duit untuk membeli rumah, namun, simpanannya itu terpaksa digunakan untuk membesarkan enam anak termasuk yang masih bersekolah.
“Sebelum ini, saya lapan beranak tinggal di rumah PPRT di Taman Indah. Sudah terlalu lama saya mohon rumah… tahun lalu, saya terima khabar gembira ini dan amat berterima kasih.
“Akhirnya, rumah baharu dapat di bina di atas tanah milik saya dan saya sangat terharu dengan bantuan yang diberikan ini,” katanya sempena Majlis Penyerahan Rumah Untuk Projek Rintis Pembinaan Rumah Prototaip Penyelidikan berasaskan Bamboocrete di Kampung Sri Repah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Datuk Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pengarah, JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Rumah bernilai RM85,000 menggunakan kaedah binaan berindustri (IBS) dibiayai sepenuhnya melalui dana penyelidikan Prototype Research Grant Scheme (PRGS), KPT.
Khamis berkata, empat daripada enam anaknya berusia 12 hingga 26 tahun masih belajar di mana seorang di sekolah rendah, dua orang sekolah menengah dan seorang di sebuah universiti awam.
“Saya hanya mendapat pencen RM700 dan kini bekerja sebagai pembuat air di kedai dengan upah RM20 sehari. Tentunya rumah sendiri menjadi impian saya anak beranak dan saya sangat berterima kasih kepada KPT, UPNM dan JHEV,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPNM yang juga ketua projek, Brig. Jen. Prof. Ir. Dr. Norazman Mohamad Nor berkata, projek berkenaan mengambil masa lima bulan untuk disiapkan bermula September tahun lalu.
Jelasnya, Bamboocrete merupakan hasil gabungan perkataan ‘Bamboo’ dan ‘Crete’ iaitu buluh di dalam konkrit.
Menurutnya, penyelidikan bermula dengan penghasilan ‘Lav-scale’ ‘Bamboocrete Panel’, ujian ‘Axial Load’ beserta ‘Flexural Bending’ ke atas panel telah dilakukan.
“Hasil ujian, Bamboocrete Panel ternyata mencapai keperluan menampung beban dan dijangka penyelidikan ini dapat mengatasi masalah kos pembinaan yang terlalu tinggi.
“Usahasama dengan JHEV berkenaan melalui projek rintis tersebut mampu membuka peluang kepada UPNM untuk terus menghulurkan bantuan kepada veteren ATM,” katanya. -UTUSAN ONLINE