Rumah nyaris hangus, anak main api ketika ibu tiada - Utusan Malaysia

Rumah nyaris hangus, anak main api ketika ibu tiada

ANGGOTA BBP Bandar Penawar melakukan operasi memadam kebakaran bahagian dapur di sebuah rumah di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. -IHSAN/BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Padah bermain api ketika ketiadaan ibu, sebuah rumah terbakar kira-kira 30 peratus di bahagian dapur dalam kejadian melibatkan dua kanak-kanak berusia 12 dan lima tahun di di Bandar Penawar, di sini.

Dalam insiden yang berlaku pada tengah hari semalam, ibu kepada dua kanak-kanak perempuan itu dipercayai keluar seketika, manakala bapa mereka sedang bekerja ketika kebakaran berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 12.49 tengah hari.

“Ketika pasukan bomba sampai, api dilihat masih membakar bahagian dapur rumah berkenaan yang dibina daripada struktur kayu.

“Hasil maklumat yang kita terima ketika kejadian hanya terdapat dua orang di rumah terbabit iaitu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bersama adiknya anggaran usia lima tahun.

“Bapa mereka keluar bekerja, sementara ibunya ketika itu keluar sekejap kerana mempunyai urusan. Menurut kakaknya kebakaran berlaku disyaki berpunca daripada adik perempuannya yang bermain bakar-bakar kertas di dapur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Fadli berkata, menyedari terdapat api membakar kawasan dapur ketika itu, kakaknya terus menjerit meminta pertolongan daripada jiran-jiran.

Katanya, tindakan pantas bomba yang tiba ke lokasi kejadian berjaya mengawal api daripada terus merebak ke seluruh rumah.

“Pihak bomba masih melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu dan operasi ditamatkan pada pukul 1.43 petang.

“Kita ingin menasihati ibu bapa sekiranya mahu meninggalkan anak-anak yang masih kecil tolong tempatkan bersama penjaga yang dewasa kerana pelbagai kebarangkalian boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga diminta meletakkan bahan-bahan yang mudah terbakar seperti mancis, pemetik api di tempat yang tinggi agar tidak mudah dicapai oleh anak-anak bagi mengelak kejadian tidak diingini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya