Rindu suasana Ramadan di penjara - Utusan Malaysia

Rindu suasana Ramadan di penjara

MOHD. Zaini Mohd. Zainal (kanan) membantu salah seorang adiknya yang berniaga kuih-muih di sebuah gerai di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang dibebaskan awal, Mohd. Zaini Mohd. Zainal, 46, masih merindui suasana berbuka puasa bersama rakan-rakan banduan lain di dalam penjara yang dihuni­nya selama 20 tahun sejak 2008.

Beliau yang kini menetap di Taman Ria di sini menganggap berbuka puasa dan bersahur dalam penjara lebih seronok serta meriah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, menurutnya, pada bulan puasa, dia dan banduan lain di Penjara Pokok Sena dekat sini juga banyak menghabiskan masa menjalani amal ibadat untuk meningkatkan keimanan masing-masing.

“Dalam penjara saya berbuka bersama kira-kira 250 banduan lain, suasana amat meriah walaupun hanya disajikan dengan buah kurma, roti dan nasi, saya merindui suasana itu.

“Selepas berbuka, kami me­nunaikan solat maghrib dan isyak berjemaah serta solat sunat arawih di surau,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau bersama 12 orang bekas ahli kumpulan Al-Maunah dibebaskan awal susulan pengampunan Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 17 Ogos tahun lalu. Mereka sepatutnya menjalani hukuman penjara sepanjang hayat.

Kumpulan itu berpusat di Bukit Jenalik, Sauk, Gerik, Perak dipimpin oleh Mohamed Amin Mohamed Razali.

Kumpulan militan itu juga merampas 114 laras senjata pelbagai jenis dan 18,000 butir peluru daripada dua buah kem tentera di Gerik untuk tujuan menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Bagaimanapun, mereka ditahan selepas menyerah diri apabila kawasan tersebut dikepung oleh pihak keselamatan pada 6 Julai 2000.

Mohd. Zaini yang kini membantu salah seorang adiknya berniaga kuih-muih di Taman Ria berkata, dia tetap bersyu­kur apabila kini dapat me­nyambut Ramadan dan berbuka puasa buat kali pertama selepas dibebaskan pada Ogos tahun lalu.

Namun katanya, dia masih berbuka puasa sama seperti dalam penjara apabila mengambil sedikit juadah sahaja walaupun mempunyai pilihan.

“Saya sekarang berbuka puasa secara ala kadar seperti dalam penjara, seolah-olah saya sudah terbiasa dengan cara itu,” katanya.

Malah katanya, dia berkesempatan menziarahi pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa di sini sebelum me­nyambut Ramadan baru-baru ini.

“Ayah dan ibu saya meninggal dunia semasa saya berada dalam tahanan,” katanya.

Mengenai persiapan menyam­but Aidilfitri, Mohd. Zaini memberitahu, dia belum berkesempatan membeli pa­kaian raya kerana kesibukan membantu adiknya berniaga.

Katanya, sambutan Aidilfitri pada tahun ini cukup menggembirakan kerana dapat diraikan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Saya ada mempunyai tiga pasang jubah baharu yang disumbangkan oleh rakan-rakan dan bolehlah saya pakai pada hari raya nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya