Rezeki nelayan usia 74 tahun - Utusan Malaysia

Rezeki nelayan usia 74 tahun

YAHYA Senin menjual ikan ditangkapnya di tepi jalan Pantai Puteri, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Usia sudah menjangkau 74 tahun dan bagi mereka yang memasuki peringkat ini kebiasaannya tidak lagi berupaya bekerja dan sudah tentu ramai lebih selesa duduk di rumah.

Namun, tidak bagi Yahya Senin yang tidak pernah meletakkan titik noktah dalam kehidupannya yang berkerja sebagai nelayan sejak berusia 10 tahun.

Kini walaupun sudah bergelar warga emas, Yahya belum penat meneruskan punca rezekinya itu yang terbukti mampu menyara isteri dan membesarkan dua anaknya.

“Siapa kata kerjaya sebagai nelayan tidak boleh jamin masa depan? Saya berjinak-jinak jadi nelayan sejak umur 10 tahun hingga sekarang. Alhamdulillah, dalam usia 74 tahun, saya masih mampu turun ke laut menangkap ikan dan sara isteri.

“Dulu tahun 1960-an, kerja sebagai nelayan memang susah kerana menggunakan sampan yang ada layar dan dayung. Bayangkan, hendak pergi ke Tanjung Bidara dari Pantai Puteri memakan setengah hari kerana perlu berlawan ombak.

“Kalau naik bot sekarang hanya satu jam setengah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Cerita Yahya, dia sehingga kini terus keluar menangkap ikan setiap hari dan hasil laut yang dijual menjadi punca kehidupannya.

Difahamkan, dia adalah nelayan paling tua dalam kalangan 120 nelayan di Pantai Puteri di sini.

Kata Yahya, zaman dahulu ikan dijual dengan harga 10 sen sekati tetapi pendapatan hariannya menjual ikan terbukti mampu membesarkan anak-anak.

Menurutnya, nelayan pada masa kini seharusnya bersyukur kerana tidak lagi perlu mendayung seperti zamannya kerana sudah mampu memiliki bot dengan enjin antara 30 hingga 150 kuasa kuda.

“Selain itu, hidup nelayan sekarang terbela kerana kerajaan menyediakan elaun sara hidup yang dibayar setiap bulan selain mereka mendapat subsidi pembelian minyak petrol.

“Bagi saya kerjaya sebagai nelayan boleh menjamin kehidupan. Yang penting kita perlu rajin turun ke laut setiap hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya