KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dipenjara sehari dan didenda RM2,500 setiap seorang kerana memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan merentas negeri ke Johor yang mana gambar berbulan madu mereka di sebuah pusat peranginan di negeri itu kemudian tular di media sosial, bulan lalu.
Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan suaminya Azharique Shah Abdul Jalil, 23, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kedua-duanya yang mengusahakan produk berasaskan inai didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2 petang, 15 Mac lalu di Balai Polis Wangsa Maju di sini.
Polis merakam keterangan pasangan itu selepas gambar mereka tular di media sosial yang didakwa netizen menyalahgunakan kebenaran merentas negeri untuk tujuan berbulan madu.
Beberapa gambar itu dimuat naik melalui medium Instastory bersama kapsyen mengenai ‘tips’ bagaimana mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu.
Mereka didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis ketika membuat permohonan untuk mendapatkan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk ke Johor.
Maklumat itu diberikan kepada Ketua Polis Balai itu, Asisten Supritendan Fairuz Nizam Anuar sehingga pegawai polis berkenaan memberikan kebenaran bertulis untuk merentas negeri.
Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 22D Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta 342 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Wong Chai Sia ketika menjatuhkan hukuman berkata, walaupun gambar dalam Instastory yang dimuat naik itu untuk tatapan ahli keluarga dan rakan, namun ia juga boleh disebarkan oleh orang lain.
Mahkamah berpendapat, tindakan kedua-duanya telah memberi contoh buruk kepada masyarakat kerana menyalahgunakan kelonggaran yang telah diberikan.
Chai Sia menyatakan, alasan bahawa tempahan tidak dapat dibatalkan dan wang deposit tidak dapat dikembalikan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk meneruskan perjalanan dan merentas negeri.
“Jika atas urusan pekerjaan sekalipun, perlu dinyatakan dengan jelas kepada pihak polis namun kamu sengaja tidak menyatakan alamat di sana manakala dalam Instastory menunjukkan kamu berada di
tempat lain,” ujar Chai Sia.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu yang tidak diwakili peguam memohon agar mereka tidak dipenjarakan dan dikenakan denda minimum.
Iram Naz menyatakan, dia membuat tempahan di pusat peranginan itu pada 26 Disember tahun lalu ketika PKPB masih belum dilaksanakan.
Namun jelas wanita itu, kejadian banjir pada Januari lalu menyebabkan dia memohon untuk menangguhkan perjalanan namun pihak pusat peranginan itu menyatakan wang tempahan tidak dikembalikan.
Ujar usahawan muda itu, tarikh 17 Mac tersebut merupakan tarikh ulang tahun perkahwinan mereka manakala pemergian ke Johor Bahru adalah atas urusan perniagaan.
Sementara itu, Azharique Shah memberitahu berlaku kesilapan pada butiran alamat tempat penginapan dalam borang yang diisi ketika membuat permohonan merentas negeri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar ketika berhujah memohon hukuman pemenjaraan atas alasan faktor kepentingan awam melebihi faktor kepentingan diri.
Hujah pendakwa raya, tertuduh-tertuduh dalam Instastory menyertakan perkataan seperti `pujuk polis’ dan sebagainya yang tidak seharusnya dimuat naik kepada umum.
Wan Ahmad Hakimi berhujah, kebenaran merentas negeri patut digunakan sebaik-baiknya dalam keadaan ramai pihak tidak mendapat kebenaran sedemikian kerana peningkatan kes Covid-19.
Gambar berbulan madu pasangan itu tular di media sosial dan dipersoalkan oleh netizen kerana menimbulkan rasa kurang senang dan kecaman yang menganggap tindakan pasangan suami isteri itu
sebagai tidak sensitif dengan keadaan semasa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, dalam satu kenyataan kemudian berkata, mereka hadir ke Balai Polis Wangsa Maju untuk memohon permit pergerakan PKPB ke Johor Bahru atas urusan perniagaan.
Mereka mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat dan berdasarkan dokumen yang dikemukakan, permohonan rentas negeri itu diluluskan oleh polis bermula 7 hingga 20 Mac
lalu. – UTUSAN ONLINE