Rentas negeri masih dilarang - Utusan Malaysia

Rentas negeri masih dilarang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan terus kekal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 15 April sehingga 28 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengekalan status itu melibatkan Selangor, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Sarawak serta Kuala Lumpur.

Beliau menjelaskan, lanjutan PKPB di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan berkenaan disebabkan perkembangan aliran penularan kes wabak Covid-19 yang masih lagi serius dengan kebanyakan negeri menyaksikan banyak zon merah bertambah mendadak selain peningkatan bilangan kluster baharu dan kes positif harian agak tinggi.

Dalam pada itu, baki lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan masih berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula tempoh sama melibatkan Perak, Pahang, Terengganu, Melaka dan Perlis serta Putrajaya dan Labuan manakala Kedah tidak meliputi daerah Kuala Muda yang masih PKPB.

Begitu juga Negeri Sembilan yang tidak termasuk Daerah Seremban kerana berstatus PKPB selain Sabah mengecualikan daerah Lahad Datu, Tawau dan Keningau yang dikenakan PKP.

“Rentas negeri belum dibenarkan lagi kecuali aktiviti pelancongan yang berdasarkan konsep gelembung pergerakan hijau antara negeri PKPP dengan negeri PKPP lain,” tegas beliau dalam sidang akhbar hari ini.

Kelonggaran untuk merentas daerah bagaimanapun dibenarkan kecuali Sabah dan Sarawak atas permintaan pihak kerajaan negeri masing-masing bagi mengekang penularan wabak.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Meruntum, Daerah Putatan, Sabah selama dua minggu mulai esok kerana terdapat lima kes positif baharu pandemik tersebut daripada 71 ujian saringan yang dilaksanakan baru-baru ini di lokaliti berkenaan.

“Terdapat 62 sampel masih lagi menunggu keputusan makmal dan PKPD dikenakan bagi melakukan pengesanan awal serta mengelak penularan di luar lokaliti itu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN