PETALING JAYA: Gara-gara berbogel dalam panggilan video, remaja wanita kini ketakutan apabila suspek mengancam mahu menyebarkan gambar-gambar lucahnya di media sosial.
Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun itu diperas ugut oleh lelaki dikenalinya menerusi aplikasi Instagram itu jika tidak memperkenalkan rakannya kepada suspek.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 4.08 petang semalam memaklumkan menerima ugutan daripada suspek yang dikenalinya.
Katanya, mangsa memaklumkan dia mengenali suspek sejak tiga bulan lalu dan perkenalan berkenaan hanyalah menerusi aplikasi pesanan ringkas laman sosial Instagram.
“Mangsa mendakwa ketika berada di rumahnya di Jinjang, dia dipujuk oleh suspek untuk berbogel ketika berbual menerusi panggilan video.
“Lelaki berkenaan juga menangkap layar gambar-gambarnya sedang berbogel tanpa disedari gadis berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Eng Lai, suspek kemudian mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar bogel mangsa sekiranya remaja berkenaan enggan memperkenalkan rakan-rakan wanitanya kepada lelaki itu.
Ujarnya, susulan itu, mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dilakukan.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati sewaktu menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali,” katanya.- UTUSAN ONLINE