Rayuan bukan bererti bersalah - Utusan Malaysia

Rayuan bukan bererti bersalah

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membuat rayuan kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung hukuman penggantungan keahlian enam tahun bukan membuktikan beliau bersalah.

Sebaliknya, Tun Faisal berkata, ia demi memberi peluang kepada ahli-ahli MKT untuk membaca segala penghujahan pembelaannya dan memperbetulkan semula kesalahan Lembaga Disiplin UMNO dalam membuat keputusan itu.

Ini termasuk katanya, bagi menunjukkan bahawa ia satu kesalahan MKT ketika membuat pengesahan keputusan mereka memandangkan dalam tersebut turut disertai pihak pengadu dan berkepentingan, iaitu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Sistem keadilan apakah yang membenarkan pengadu dan pihak berkepentingan turut serta membuat keputusan, sedangkan mereka patut mengesahkan kepentingan kepada semua MKT dan keluar dari mesyuarat itu ketika kes ini hendak dibincangkan dan diputuskan,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tun Faisal pada masa sama mempersoalkan apakah kesalahan beliau sehingga digantung keahlian selama enam tahun.

“Saya tak fitnah Presiden. Surat sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memang benar dan daripada sumber yang benar.

“Sejak bila Lembaga Disiplin boleh buktikan ia surat yang palsu?” soalnya.

Baru-baru ini, Tun Faisal menyerahkan salinan surat rayuan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli MKT yang sebelum itu telah pun dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, 1 April lalu.

Dalam salinan surat rayuan berkenaan, Tun Faisal meminta membatalkan hukuman penggantungan itu yang jelas amat zalim dan tidak masuk akal sebagaimana diputuskan.

Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, digantung keahlian UMNO selama enam tahun, malah semua manfaat sebagai ahli UMNO juga dilucutkan secara sementara sepanjang tempoh itu.

Pada 19 Februari lalu beliau diminta mengemukakan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu itu bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya.

Tun Faisal sebelum itu mendakwa Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti kerana mengerakkan jajaran politik baharu bersama PKR dan DAP walaupun ia bertentangan dengan dasar parti.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya