PUTRAJAYA: Drama bersiri popular yang pernah mencetuskan fenomena di negara ini pada 2018 lalu, Nur hanya disiarkan satu episod di stesen televisyen ternama Indonesia, MNCTV.
Kegagalan tersebut turut tular diperkatakan warganet tempatan yang meluahkan kehairanan apabila mendapati episod kedua tiba-tiba digantikan dengan sebuah ‘sinetron’ negara itu pula.
“Rating (penarafan) rendah, automatik ditamatkan oleh stesen TV, persaingan program TV di Indonesia sememangnya begitu,” kata seorang pengguna media sosial dengan nama Guntur.
Beliau malah menambah, di republik berkenaan bukanlah sesuatu yang pelik apabila pihak pengurusan stesen televisyen menghentikan sesuatu program jika didapati kurang sambutan.
Nur mula disiar di MNCTV pada 13 April lalu ketika waktu perdana selama sejam bermula 4.30 pagi Waktu Indonesia Barat (5.30 pagi waktu Malaysia) iaitu tempoh paling tinggi penonton.
Ia merupakan slot yang paling banyak iklan ditayangkan dalam semua program ke udara kerana masa itu lebih 200 juta umat Islam di Indonesia sibuk bersahur sebelum solat fardu subuh.
Pandangan tersebut turut diakui seorang lagi warganet yang pernah bertugas di republik itu sambil menyifatkan rakyat Indonesia secara umumnya tidak begitu menggemari drama Malaysia.
“Sebabnya mudah, orang Indonesia kemungkinan besar tidak berminatlah cerita siri macam tu bahkan drama kita di sana secara jujur bukanlah laku pun,” jelasnya dengan nama Fazrien97.
Situasi buruk tersebut mengakibatkan Nur yang pernah ‘hangat’ disiarkan TV3 itu, digantikan dengan siri drama baharu berjudul Kembaranku Membuka Jalan Hijrahku mulai 20 April lalu.
Terdapat lebih 100 saluran televisyen terrestrial digital tempatan yang meliputi 34 wilayah di Indonesia dengan ibu kotanya, Jakarta sahaja ada 32 saluran percuma bersaing amat sengit.
Turut berkongsi nada sama ialah netizen bernama gelaran Batman dari Johor yang terkejut apabila mendapati Nur disiarkan pada waktu akhir sahur sebelum azan subuh berkumandang.
“Ya, waktunya memang bertaraf perdana di Indonesia, tetapi di Malaysia waktu sahur pula dianggap waktu tidur bagi kebanyakan umat Islam,” tambahnya yang kesal pemilihan waktu itu.
Penduduk selatan Johor dapat menyaksikan saluran MNCTV selain 20 lagi stesen Indonesia yang dipancarkan dari Batam, di samping enam saluran Singapura dan 18 saluran Malaysia.
Nur yang diterbitkan syarikat produksi Radius One diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin membariskan ramai pelakon terkenal antaranya Amyra Rosli; Syafiq Kyle; Azhan Abdul Rani dan Noorkhiriah Ahmad.
Drama 19 episod itu meraih 10 juta tontonan menerusi slot Samarinda di TV3 serta menang tiga kategori Anugerah Skrin dan enam kategori Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019. -UTUSAN ONLINE