Rangka manusia dibungkus kain batik dijumpai dalam kebun getah - Utusan Malaysia

Rangka manusia dibungkus kain batik dijumpai dalam kebun getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kontraktor terkejut apabila menemukan rangka manusia ketika melakukan kerja meratakan tanah di kawasan kebun getah di Kampung Talang Hulu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, rangka yang dibungkus kain batik ditemukan lelaki berusia 40 tahun itu kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bahagian tulang yang dapat dikenal pasti adalah tulang pinggul, rahang gigi bawah dan tengkorak.

“Berdasarkan laporan polis diterima, lelaki itu menjumpai rangka tersebut ketika mengendalikan jentolak untuk meratakan tanah.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas lima helai potongan kain batik yang membungkus rangka itu menjumpai satu tengkorak manusia, rangka rahang gigi bawah, satu tulang pinggul dan 27 cebisan tulang,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan tersebut merupakan kebun getah yang diratakan untuk dijadikan tapak nurseri anak sawit.

Katanya, lokasi itu terletak tiga kilometer dari Jalan Taiping-Kuala Kangsar dan untuk ke tempat kejadian perlu menggunakan jalan tidak berturap di tepi lebuh raya arah utara.

“Kesemua rangka dan tengkorak itu akan dihantar ke Jabatan Patalogi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tindakan lanjut.

“Analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas eksibit kain batik itu akan dijalankan dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya