Ramadan: Sisa buangan meningkat 20 peratus - Utusan Malaysia

Ramadan: Sisa buangan meningkat 20 peratus

KHAIRULADHA Ab. Mutalib (dua dari kiri) dan Abdul Wahab Ibrahim pada Majlis Menandatangani MoU di Taman Peringgit Ria, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kadar sisa buangan makanan di negeri ini dijangka akan terus meningkat 20 peratus setiap hari di bulan Ramadan berbanding bulan biasa sekiranya umat Islam tidak mengawal penyediaan juadah berbuka.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada kajian komposisi dilakukan tahun lalu yang merekodkan kadar pembuangan sisa makanan meningkat kepada 450 tan sehari pada bulan Ramadan, berbanding 340 tan bulan biasa.

“Walaupun jumlah sisa buangan merekodkan penurunan sepanjang tempoh pandemik tahun lalu, namun, trend pembuangan sisa makanan tetap meningkat pada bulan Ramadan.

“Berdasarkan kajian komposisi tahun lalu, pembuangan sisa makanan pada bulan Ramadan meningkat sebanyak 90 tan sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Program Mendaya Komuniti Peringkat Negeri Melaka dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefaham (MoU) Bersama Penggerak Komuniti Negeri (PKN) Melaka.

Program tersebut dilancarkan oleh Pengerusi SWCorp, Dr. Daroyah Alwi bersama-sama Pengerusi PKN Melaka, Abdul Wahab Ibrahim.

Tambahnya, bagi membantu mengurangkan kadar tersebut, pihaknya akan melakukan hebahan peringatan sepanjang bulan Ramadan antaranya meletakkan gegantung dan poster di setiap pasar.

“Antara usaha kita adalah meletakkan poster-poster yang sesuai di setiap pasar dan bazar Ramadan untuk mengingatkan pembeli agar tidak terlalu mengikut hawa nafsu membeli juadah berbuka secara berlebihan, yang mendorong kepada pembaziran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairuladha memberitahu, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan bersama para peniaga bazar Ramadan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyarankan penggunaan bekas atau beg kitar semula yang dibawa sendiri oleh pembeli.

Jelasnya, saranan itu merupakan salah satu usaha SWCorp untuk mengurangkan penggunaan beg plastik, sekali gus menurunkan kadar pelupusan komposisi itu.

Sementara itu, Daroyah berkata, MoU yang ditandatangi antara SWCorp dan PKN merupakan satu usaha untuk memperkasakan komuniti dan rakyat dalam program berkaitan kebersihan dan amalan 3R di peringkat komuniti.

Jelasnya, ia melibatkan aktiviti seperti penjagaan kebersihan seperti gotong royong, Trash to Cash, pengumpulan minyak terpakai dan pendaftaran sukarelawan Hero Kebersihan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya