Ramadan bermakna buat lelaki OKU - Utusan Malaysia

Ramadan bermakna buat lelaki OKU

ROSLI Mat Yassin (dua dari kanan) menerima sumbangan peralatan tidur daripada Mustapa Long (dua dari kiri) di Kampung Balik Gua, Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kehadiran bulan Ramadan kali ini cukup bermakna bagi seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Rosli Mat Yassin, 56, apabila mula menjejakkan kaki di rumah baharu menerusi projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Kampung Balik Gua, di sini.

Rosli yang mengalami masalah mental dan komplikasi alat artikulasi pertuturan, iaitu gagap dan pelat sebelum ini sudah lima tahun tinggal bersendirian menduduki sebuah pondok yang agak uzur dan sempit dibina di atas tanah pusaka.

Berasaskan hakikat keadaan hidup Rosli tidak menentu, permohonan mendapatkan projek RRP dikemukakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Balik Gua kepada kerajaan negeri menerusi pejabat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rosli bersyukur kerana dirinya berubah lebih tenang menjalani ibadah bulan Ramadan dan kehidupan selesa selepas ini apabila mula menduduki rumah baharu.

“Saya hanya mampu bersyukur dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang membantu. Rumah ini hadiah sempena kedatangan Ramadan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Balik Gua, Muhamad Isa Mat Nor berkata, pihaknya prihatin dengan kebajikan lelaki OKU itu khususnya hanya tinggal di pondok sempit di hujung kampung dan dikhuatiri berdepan ancaman keselamatan.

“Kita membuat permohonan kepada wakil rakyat di sini tahun lalu bersyukur kerana Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberikan perhatian dengan tersenarainya nama Rosli sebagai penerima rumah baharu projek RRP,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, Rosli disenaraikan penerima projek RRP yang bernilai RM65,000 memandangkan senario kehidupannya susah tanpa rumah tetap dan berstatus OKU.

“Kita berterima kasih kepada Menteri Besar kerana prihatin dan mengambil berat dengan memberikan peruntukan di bawah projek RRP yang siap dibina pada Disember tahun lalu kepada lelaki OKU ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya