KUALA LUMPUR: Penafian kedua-dua pemimpin UMNO dan PKR berhubung rakaman suara yang tular sebelum ini perlu disertakan dengan bukti kukuh.
Pemimpin veteran politik, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penglibatan pakar bagi ujian pengesahan amat diperlukan untuk membuktikan ketulenan rakaman berkenaan bagi membersihkan nama mereka.
Selain itu katanya, bukti penting bagi menghentikan pelbagai spekulasi sehingga banyak pihak tertumpu pada isu berkenaan yang secara tidak langsung telah merendahkan tahap politik orang Melayu yang kini semakin berkecamuk sehingga sanggup mengetepikan matlamat dan tanggungjawab nasional.
” Saya berpendapat pihak berkuasa perlu mencari pakar audio atau pakar suara dan gandingkan dengan bukti rakaman untuk mengesahkan ketulenan kedua-dua pemimpin itu.
“Jika tidak ini akan jadi duri dalam daging kepada mereka lebih-lebih lagi lunak dan lenggok bahasa kedua-dua pemimpin ini memang dikenali,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53/54 Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak Melayu di sini hari ini.
Sebelum ini, tular penyebaran audio perbualan berdurasi empat minit 17 saat dikatakan mirip suara Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rakaman perbualan itu menjurus pada rumusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.
Tambah Rais kerajaan sepatutnya diberi peluang bagi membina negara yang lebih kuat dan harmoni demi menjamin masa depan rakyat.
Dalam pada itu, Rais berkata, satu program khusus Jawi Jiwa Bangsa akan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 April ini.-UTUSAN ONLINE