Rakaman audio tidak pecah belahkan UMNO - Utusan Malaysia

Rakaman audio tidak pecah belahkan UMNO

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu klip audio perbualan melibatkan suara dikatakan mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tular sejak Rabu tidak akan memecah belahkan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tidak berlaku setakat ini meskipun pelbagai pandangan dikeluarkan ahli dan pemimpin-pemimpin berhubung isu terbabit.

“Setakat ini (rakaman audio) itu tidak memecah belahkan parti, tetapi perbezaan pandangan itu ada, ada yang kata ia (rakaman) betul, ada kata palsu.

“Jadi, apa yang terbaik seperti saya katakan sebelum ini adalah menyerahkan siasatan kepada polis. Laporan juga sudah dibuat termasuk daripada beberapa ahli dalam UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bangkit 15 UMNO Johor di sebuah hotel, di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita mendedahkan ‘perbincangan’ menerusi perbualan telefon didakwa melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbualan yang tular di media sosial itu antara lain dikatakan berlaku beberapa jam selepas Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung UMNO 2020, hujung Mac lalu.

Perbincangan itu antara lain menyebut suara mirip Ahmad Zahid menyatakan apa yang diucapkan beliau dalam perhimpunan berkenaan hanyalah sebagai taktikal sebelum mendapat pujian daripada suara didakwa sebagai Anwar.

Sementara itu, ketika ditanya gesaan agar Ahmad Zahid berundur, Ismail Sabri berkata, setiap ahli UMNO bebas mengeluarkan pandangan memandangkan parti itu bersifat demokrasi.

“Saya percaya setiap ahli bebas mengeluarkan pandangan dan kita tidak pernah sekat pandangan sesiapa pun sejak dahulu lagi kerana ia adalah cara UMNO.

“Justeru itu, terserah kepada ahli nak cakap apa sahaja kerana pada akhirnya nanti terserah kepada kita di peringkat tertinggi untuk membuat keputusan sewajarnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya