Raih RM700 sehari jual kuih-muih hampir pupus - Utusan Malaysia

Raih RM700 sehari jual kuih-muih hampir pupus

Gambar hiasan. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Permintaan tinggi terhadap kuih-muih tradisi Terengganu yang hampir pupus mendorong kira-kira 10 peniaga di bazar Sura Gate di sini memilih menjual hidangan itu sepanjang Ramadan kali ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aneka kuih lama dijual di bazar berkenaan antaranya kuih kepal, lok lik, tok aci serban, che abas demam, hati sukma dan taming sari.

Seorang peniaga, Zaridah Jusoh, 64, berkata, setiap kali Ramadan dia mengambil peluang menghasilkan kuih yang makin dilupakan berikutan menu itu jarang dijual di mana-mana di samping tidak ramai mahir membuatnya.

Katanya, sambutan menggalakkan terhadap lebih 10 jenis kuih di gerainya membolehkan dia menjana pendapatan lumayan mencecah RM700 sehari.

Menurutnya, kebanyakan pembeli bukan sahaja dalam kalangan yang berusia, malah golongan muda turut mengambil peluang mencuba kuih-muih tersebut.

“Generasi kini mungkin tidak kenal dengan kuih hati sukma, koleh lemak atau lok lik, jadi saya manfaatkan kesempatan ini supaya mereka dapat merasai keenakan hidangan warisan kita.

“Membuat kuih tradisional ini agak rumit dan saya mengambil masa hampir tujuh jam sehari untuk menyiapkannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Zaridah, proses pembuatan kuih bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang dan walaupun penat tetapi dia berpuas hati apabila pelanggan dapat menikmati air tangannya.

Di samping itu, dia turut menjual pulut panggang dengan hampir 400 biji laris sehari.

Sementara itu seorang pelanggan, Raidah Alias, 35, mengambil peluang membeli beberapa jenis kuih yang tidak pernah dicuba sebelum ini termasuk taming sari yang disangka koleh kacang.

“Saya tidak pernah makan kuih ini dan penjual memberitahu taming sari lebih sedap daripada koleh kacang walaupun warnanya sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN