GEORGETOWN: Kebiasaannya putu mayam yang menjadi kegemaran hampir semua kaum di negara ini dihidangkan bersama kelapa parut, gula perang, gula kabung atau gula Melaka.
Bagaimanapun setiap kali Ramadan tiba, satu hidangan istimewa iaitu putu mayam beriyani dijual di bazar Ramadan Liga Muslim di Lebuh Queen di sini.
Berlainan dengan putu mayam biasa yang berwarna putih, putu mayam beriyani berwarna keperangan hasil campuran susu dan rempah ratus beriyani yang ditambah selepas putu mayam dimasak.
Seorang penjual putu mayam beriyani, Imam Ali, 35, berkata, putu mayam beriyani itu dijual sejak tahun 1918 di Pulau Pinang namun ketika Ramadan lebih banyak permintaan daripada orang ramai untuk mendapatkan hidangan berkenaan.
“Putu mayam beriyani boleh menggantikan nasi, jadi ramai yang mencari putu mayam beriyani untuk berbuka puasa.
“Selain dimakan begitu sahaja, putu mayam beriyani boleh dimakan bersama lauk-pauk yang dijual di sini seperti gulai ayam, kari daging dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, putu mayam beriyani dibuat dengan menggunakan tepung beras dan santan.
“Kemudian aduan ini ditekan di dalam doh bagi menghasilkan hasil adunan seperti bihun yang halus dan dimasak dengan cara mengukus,” katanya.
Tambahnya, doh berwarna putih yang telah dikukus itu akan dimasak sekali lagi dengan menggunakan rempah ratus beriyani dan susu.
“Adunan rempah briyani dan susu ini yang menghasilkan rasa istimewa kepada putu briyani dan menggamit orang ramai untuk membelinya setiap kali Ramadan.
“Sepinggan putu briyani ini dijual pada harga RM5 dan set putu briyani bersama ayam dijual dengan harga RM11,” katanya. -UTUSAN ONLINE