PTPTN jalin MoU dengan UTM, tambah baik perkhidmatan kepada penuntut - Utusan Malaysia

PTPTN jalin MoU dengan UTM, tambah baik perkhidmatan kepada penuntut

AHMAD Dasuki Abdul Majid dan Ahmad Fauzi Ismail menunjukkan dokumen memorandum persefahaman (MoU) PTPTN-UTM yang telah ditandatangani dan disaksikan oleh Noraini Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik menambah baik perkhidmatan demi kebajikan penuntut.

PTPTN dalam satu kenyataan memberitahu, MoU itu bertujuan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terlibat dalam pembudayaan simpanan pendidikan dan pembangunan modal insan kepada warga UTM melalui pelbagai inisiatif.

Menurut kenyataan itu, inisiatif itu termasuk program pembangunan penjanaan Endowmen UTM serta promosi produk tabungan dan manfaat melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, UTM merupakan universiti awam pertama memeterai MoU itu dengan skop kerjasama menyeluruh yang bakal memberi impak positif dan signifikan kepada semua warga UTM.

“Kami berharap MoU ini akan menjadi batu loncatan dan tanda permulaan kerjasama yang akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada seluruh generasi pada masa depan.

“Kerjasama ini juga diharap mendapat sokongan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menggalakkan penglibatan institusi pengajian tinggi lain untuk mencontohi UTM dalam menawarkan rangsangan strategik yang sama,” katanya.

Majlis MoU itu menyaksikan PTPTN diwakili Ahmad Dasuki manakala UTM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Sementara itu Ahmad Fauzi memberitahu, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan PTPTN dalam penawaran skim perlindungan takaful komprehensif yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan warga universiti itu.

“Terima kasih juga diucapkan kepada PTPTN kerana menjadi agensi utama yang membiayai yuran pengajian tinggi bagi penuntut mereka.

“Sehingga Januari tahun ini, PTPTN telah membantu seramai 88,750 penuntut yang melanjutkan pengajian ke UTM melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan dengan ketika ini seramai 5,874 penuntut UTM sedang dibiaya,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif pemberian penghargaan dalam bentuk Insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada kakitangan UTM sempena Anugerah Citra Karisma juga membolehkan budaya menabung dipupuk dalam kalangan warganya.

Dalam majlis yang sama, Noraini turut berkesempatan mengagihkan bubur lambuk tajaan PTPTN kepada 650 pelajar dan staf UTM yang merupakan sebahagian daripada Program Imarah Ramadan Bersama Pelajar IPT (IMRAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya