PETALING JAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif #SayaDigital yang memfokuskan mempercepat pertumbuhan masyarakat celik digital akan diteruskan melibatkan pelbagai lokasi sesi outreach sehingga akhir tahun ini dengan sasaran 10,000 pendaftaran di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, ia bertujuan bagi menggiatkan inisiatif berkenaan dan melibatkan dengan dengan kerjasama Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pusat Internet Komuniti.
Beliau difahamkan pasukan #SayaDigital juga turun ke beberapa kawasan PPR untuk mendedahkan masyarakat setempat dengan pelbagai kemahiran digital dan turut mengadakan sesi sama di perkampungan orang Asli di Bukit Lanjan.
Jelasnya, pendekatan berkenaan merupakan satu bukti manifestasi dan komitmen kerajaan yang mahu semua lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara adil dan saksama.
“Inisiatif literasi digital ini diharapkan dapat memainkan peranan penting untuk membantu rakyat dan perniagaan kecil yang masih terkesan akibat Covid-19. Pada hakikatnya, kesan dan akibat pandemik ini boleh menjadi pendorong untuk masyarakat luar bandar memantapkan kemahiran dan ilmu digital terutamanya dalam kalangan peniaga.
“Saya menyambut baik kempen ini demi masa hadapan digital Malaysia sebagaimana hasrat MyDigital selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Saya berharap semua peserta program dapat memanfaatkan segala peluang yang tersedia untuk memperolehi ilmu dan kemahiran terbaik dalam bidang ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran #MyDigital hari ini.
Program #SayaDigital yang dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merupakan usaha kerajaan bagi memperluas literasi dan adaptasi digital kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan pada Februari lalu telah melancarkan inisiatif MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia di samping mengumumkan pelbagai inisiatif merentasi tiga fasa pelaksanaan sehingga 2030 termasuklah pelaburan yang dijalankan dengan usaha sama pihak kerajaan dan swasta.
Jelas beliau, bagi merealisasikan visi ekonomi digital ini, negara haruslah mempertingkat dan menambah baik literasi digital di dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, inisiatif #SayaDigital yang dilancarkan oleh MDEC pada hari ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif MyDigital yang bertujuan untuk mempercepat pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini.
“Inisiatif #SayaDigital menyasarkan kumpulan sosio ekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan sejak Ogos 2020 yang lalu. Ini termasuklah latihan literasi digital asas dan seminar perniagaan secara maya bertujuan membantu masyarakat menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan melalui eRezeki,” katanya. -UTUSAN ONLINE