IPOH: Program Malaysia Prihatin bukan kempen politik untuk pilihan raya, sebaliknya inisiatif turun padang kerajaan mendekati rakyat untuk mengetahui secara bersemuka sebarang permasalahan menerusi sesi soal jawab dengan matlamat dapat menyelesaikan isu-isu jika ada.
Pendekatan serupa turut dilakukan oleh kerajaan terdahulu kerana pendekatan tersebut sangat berkesan selain rakyat dapat menyampaikan sendiri isi hati mereka kepada pemimpin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana Pakatan Nasional (PN) adalah sebuah kerajaan yang akan membantu sesiapa sahaja yang sepatutnya dibantu sepertimana yang telah dan sedang dilaksanakan ketika ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sebarang isu atau permasalahan rakyat yang disuarakan tetapi belum selesai akan diambil perhatian untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk mencari penyelesaian.
“Kita adalah kerajaan yang berfungsi. Kerajaan ini tiada manifesto tetapi kita akan buat ikut keperluan berdasarkan perancangan semasa. Kerajaan PN akan membantu sesiapa sahaja yang layak.
“Bukan saya seorang sahaja, malah lain-lain menteri dan timbalan menteri yang turun padang juga akan melakukan perkara sama. Melalui program inilah kita dapat menjalankan tugas sebagai kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Bandar Baru Tambun di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Ahli Parlimen Tambun dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Hamzah ketika berucap pada program tersebut turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti langkah-langkah pencegahan yang ditekankan untuk menghentikan wabak Covid- 19.
Katanya, kesedaran orang ramai tentang bahaya Covid-19 serta pentingnya pengambilan vaksin bagi mencegah jangkitan itu bukan sahaja membantu kerajaan, malah penting dalam proses untuk memulihkan kembali situasi pandemik. – UTUSAN ONLINE